Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Pengangguran Kritikal Di Malaysia

Datuk Dr. Zainal Aznam dari Majlis Ekonomi Nasional yang ditubuhkan oleh kerajaan baru-baru ini melaporkan bahawa kadar pengangguran di dalam negara akan mencapai tahap 6% yang merupakan kadar tertinggi yang dicapai oleh negara sejak 20 tahun lalu. Meskipun ekonomi berasaskan pembuatan sejak setahun lalu menampakkan sedikit pertumbuhan, namun kadar pengangguran ini masih tidak dapat dielakkan. Dengan pemulihan ekonomi dan peluang pekerjaan buruh kasar yang agak murah, banyak negara pelabur asing mula memandang negara-negara seperti Vietnam, Indonesia, Kemboja dan China untuk dijadikan tempat melabur. Kemasukan pelaburan terus asing atau FDI ke dalam negara-negara ini sejak ekonomi sedunia mulai nampak pulih setahun lepas telah melenyapkan beberapa harapan penggerak dana serantau negara kita di dalam memperolehi modal baru antarabangsa.

Para pelabur luar berasa bimbang dengan situasi dan melabelkan Malaysia sebagai negara tidak selamat memandangkan iklim politiknya tidak stabil dan isu-isu seperti hak sosial, hak maklumat dan kelambatan transformasi proses demokrasi di dalam negara. Meskipun begitu, keadaan huru-hara politik di Thailand kurang memberi impak kepada para pelabur asing untuk membuka perdagangan mereka di sana. Ini adalah kerana kos perniagaan dan kos buruh adalah jauh lebih rendah daripada di Malaysia.

Sungguhpun demikian, syarikat-syarikat dari Malaysia pula semakin banyak menceburi usahasama perdagangan dengan negara luar. Syarikat-syarikat Malaysia sanggup menghabiskan lebih banyak wang syarikat untuk melabur di luar negara dengan alasan yang sama iaitu kos buruh yang rendah. Mungkin kerajaan perlu berbuat sesuatu supaya mereka ini pulang membuka kilang-kilang di Malaysia dengan insentif tempatan yang lebih baik bagi mengisi kilang-kilang yang ditinggalkan oleh pelabur asing. Walaupun Malaysia memberikan infrastruktur dan pelepasan duti-duti yang agak menarik, namun keadaan sosial dan politik semasa menggerunkan para pelabur.

Setelah berlakunya keadaan ini, dengan jumlah kadar pengangguran yang hanya mengambil kira sejumlah pekerja yang diberhentikan kerja oleh majikan kerana kemelesetan perniagaan, ia tidak menampakkan betapa lebih meruncingnya keadaan yang berlaku. Kadar berkenaan tidak mengambil kira jumlah graduan yang dikatakan sejak 2 tahun lepas yang masih gagal memperolehi pekerjaan dan juga tidak mencerminkan sejumlah golongan bekerja yang berhenti kerja secara sukarela tetapi gagal mendapat pekerjaan baru.

Antara punca utama mengapa ramai graduan yang menganggur adalah kerana percambahan pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan program sijil,diploma dan ijazah sama ada kerajaan dan swasta. Dengan pengambilan kemasukan pelajar yang nampak mudah tidak seperti 15 tahun lalu, ramai mereka yang sekadar lulus SPM tidak menghadapi masalah untuk memperolehi diploma atau pun sijil. Yang membezakan mereka hanyalah sama ada mereka adalah graduan universiti awam ataupun swasta. Jika 12 tahun lalu, untuk insitusi pengajian tinggi kerajaan, negara hanya mempunyai 10 universiti awam tetapi hanya dengan sekelip mata dan 3 tahun berikutnya, jumlah itu bertambah lebih sekali ganda. Bukan itu sahaja, jumlah pengambilan setiap tahun semakin bertambah. Kesan daripada kehadiran graduan-graduan ini tidak nampak pada pertengahan tahun 2000an. Ini adalah kerana peluang pekerjaan dalam sektor awam dan swasta mampu menerima graduan-graduan ini.

Tetapi pada tahun 2007, apabila ekonomi negara dan serantau mengalami kemelesetan, kesan ini mula ternampak dan diakui apabila ramai graduan terbaru sukar mendapat pekerjaan di saat industri sedang memberhentikan pekerja kerana tiada sumber dan peluang perniagaan. Ada yang menganggap segalanya bermula apabila geraf kelulusan pelajar di dalam keputusan SPM dipermudahkan atau direndahkan bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa saban tahun tahap lulus SPM meningkat. Hasilnya lebih ramai pelajar yang diciptakan ’pintar’ boleh mengisi ruang kosong kemasukan ke dalam IPT terutamanya IPT-IPT swasta.

Sungguhpun begitu, mungkin kerajaan menyedari akan masalah ini. Semasa pentadbiran Pak Lah, banyak peluang berniaga ataupun program keusahawanan diperkenalkan kepada para graduan dan pengganggur terutamanya di dalam bidang pertanian moden dan biotek. Malah, menggalakkan graduan ijazah sarjana muda untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan profesional dengan insentif-insentif yang menarik. Namun, pengenalan ransangan-ransangan berkenaan kurang berhasil kerana golongan graduan muda negara lebih suka memperolehi pengalaman bekerja dan kurang berminat berniaga sendiri.

Kegagalan ini lebih menjadi-jadi selepas peralihan kuasa daripada seorang Perdana Menteri kepada Perdana Menteri yang baru apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dibubarkan dan ini telah membantutkan usaha-usaha bersepadu bagi menangani masalah ini. Kesemua fungsi-fungsi kementerian tersebut untuk menggalakkan golongan muda terutamanya golongan bumiputera telah dibahagi-bahagikan di bawah kementerian-kementerian yang berasingan. Oleh itu, usaha gigih dan bersepadu menanganinya tidak dapat dijalankan.

Lebih memburukkan lagi apabila lebih banyak IPT swasta diluluskan untuk menawarkan pelbagai program. Jumlah graduan hasil daripada IPT swasta saban tahun meningkat dengan banyak dan ramai beranggapan universiti-universiti dan kolej-kolej swasta dalam tempoh 10 tahun ini laksana industri kilang menghasilkan tenaga kerja yang melebihi daripada permintaan oleh industri pekerjaan.

Bagi mereka yang berhenti kerja dan cuba mendapat pekerjaan baru juga turut mengalami masalah ini. Ada penganggur yang berhenti kerja pada 3 tahun lepas tetapi masih gagal sehingga hari ini mendapat pekerjaan tetap meskipun mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam bekerja. Malah ada yang mempunyai ijazah Sarjana atau Master.

Oleh kerana pihak majikan tidak mampu membayar permintaan gaji yang tinggi oleh golongan-golongan ini, majikan telah melihat bahawa lebih baik mengambil graduan yang lebih muda dan yang pentingnya dengan gaji yang lebih rendah semata-mata untuk mengurangkan kos operasi. Nasib baiklah situasi berkenaan masih boleh membantu pengangguran di kalangan graduan tetapi golongan pekerja berpengalaman atau mahir terus dipinggirkan semata-mata isu gaji meskipun mereka ini mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada industri dengan pengetahuan dan pengalamannya. Sewajarnya, pihak majikan perlu nampak bahawa mereka tidak memerlukan banyak wang untuk melatih graduan-graduan muda yang diambil bekerja jika mereka mengrekrut pekerja-pekerja mahir ini.

Walaubagaimanapun, pihak kerajaan dan sektor swasta perlu menumpukan lebih perhatian untuk mengurangkan kadar pengangguran tidak rasmi yang dihuraikan di atas. Oleh kerana para graduan muda ini adalah antara yang terbabit, pastinya usaha kerajaan untuk mendapatkan mereka pekerjaan adalah satu benda penanda aras atau KPI. Mereka tidak mahu kerajaan terus menyalahkan mereka kerana terlalu memilih pekerjaan. Bagi mereka, mereka tidak memilih tetapi mahukan pekerjaan yang sesuai dengan ilmu yang mereka perolehi. Mereka mahukan kerajaan supaya nampak jika ada graduan muda yang terpaksa memohon pekerjaan di dalam PDRM sebagai konstabel, ini sudah nampak sangat bahawa kerajaan telah gagal.

Mereka mungkin lebih suka memohon pekerjaan di dalam PDRM setidak-tidaknya sebagai Cif Inspektor ataupun ASP supaya ilmu yang dipelajari tidak disia-siakan. Mereka juga percaya jika mereka memenuhi kesemua pekerjaan Konstabel di dalam PDRM, bagaimana pula dengan orang muda yang hanya lulus Diploma, STPM dan SPM? Adakah jawatan yang lebih rendah lagi dari Konstabel untuk ditawarkan kepada mereka ini? Inilah kebingungan sosial yang melanda industri sumber manusia. Kesilapan dan kelemahan pihak kerajaan menangani masalah ini pasti akan membuatkan anak-anak muda yang mengganggur memberontak mahukan perubahan. Perubahan yang mungkin melibatkan pertukaran kerajaa. Cubalah difikir-fikirkan.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan perkembangan semasa dan selepas pilihanraya kecil di Sibu dan Hulu Selangor baru-baru ini yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

1 comment

1 Rita { 04.23.10 at 4:44 pm }

Looks like the author has recommend some true story of the whole situation about unemployment. Congrats Mr/Mrs writer. Wish that the govt will read ur writing and do the action.