Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Cabaran GST untuk Malaysia

Shaharul Shafie

Semasa negara menyambut Hari Pekerja hari ini, sekumpulan hampir 700 penunjuk perasaan melakukan demonstrasi secara aman di Dataran Merdeka bagi menuntut kerajaan memansuhkan cadangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Selain itu, penunjuk-penunjuk perasaan ini turut juga mendesak agar cuti pekerja selepas melahirkan anak dinaikkan kepada 90 hari dan meminta pihak peminjam perumahan supaya dapat mengurangkan jumlah bayaran balik pinjaman bulanan perumahan. Sehingga tengah hari tadi, dilaporkan seramai 6 orang aktivis telah ditahan oleh pihak polis untuk memberikan keterangan.

Langkah melaksanakan GST ini dilihat oleh kerajaan sebagai menjana satu bentuk pendapatan baru kepada negara. Ini adalah kerana jumlah pendapatan negara melalui sumber-sumber lain terutamanya hasil yang dibayar oleh PETRONAS kepada kerajaan yang telah dilihat berkurangan sejak harga minyak sedunia menurun selepas pernah mencapai paras USD140 per gelen pada tahun 2008.

Pada tahun 2008, PETRONAS dilaporkan telah menyumbang sebanyak hampir 45% daripada jumlah pendapatan negara. Bukan itu sahaja, pendapatan hasil daripada pelaburan asing atau FDI juga menurun walaupun ekonomi negara mulai nampak pulih sejajar dengan pemulihan ekonomi sedunia sejak pertengahan tahun lalu. Negara-negara pelabur mulai meninjau kos buruh yang lebih rendah di negara China, Vietnam, Indonesia dan India untuk melabur.

GST diperkenalkan di kebanyakan negara-negara maju. Namun begitu, beberapa negara memberikan kebebasan kepada negeri-negeri di dalamnya memilih bentuk pelaksanaannya seperti jenis cukai yang dibenarkan serta memberikan insentif kepada rakyat yang membayar cukai pendapatan. Tujuannya adalah mengurangkan kesan kepada kuasa membeli dan simpanan isi rumah rakyat.

Sebagai contohnya di Amerika Syarikat, setiap negeri akan mempunyai perundangan dan bentuk pelaksanaan GST atau nama cukai lain yang seumpamanya yang berbeza pada kadar cukai yang dilaksanakan dan memperjelaskan kategori dan jenis-jenis barangan dan perkhidmatan yang dibolehkan pengenaan cukai. Malahan, di sesetengah negeri di Amerika Syarikat, ada juga kadar dan jenis cukai yang diperkenalkan berlainan mengikut daerah (county) dan bandar.

Ini adalah kerana tidak semua daerah mahupun bandar di sesebuah negeri di Amerika Syarikat mempunyai penduduk dengan jumlah pendapatan perkapita yang sama. Bukan itu sahaja, beberapa negeri seperti Montana, Alaska, New Hampshire, Delaware dan Oregon tidak melaksanakan GST manakala kebanyakan negeri-negeri di Timur Amerika Syarikat yang mempunyai kadar pendapatan perkapita yang agak tinggi mengenakan GST pada kadar antara 5% ke 7%.

Bagi negeri California yang terletak di sebelah Barat AS pula mempunyai kadar cukai seumpama GST tertinggi dengan purata 8.5%. Walaupun begitu, kadarnya berlainan mengikut daerah di California. Sebagai contohnya di negeri California, Sacramento mengenakan GST sebanyak 8.75% manakala bandaraya yang lebih besar iaitu Los Angeles pula mengenakan GST pada kadar purata 9.75%.

Meskipun penanda aras pada anggapan umum ialah negeri-negeri maju mesti mengenakan kadar GST yang lebih tinggi, namun di negeri-negeri seperti New York dan Virginia, namun pemerintah di kedua-dua negeri kaya ini mengenakan GST pada kadar 4% sahaja. Malah di Delaware yang juga sebuah negeri yang kaya tidak mengenakan sebarang bentuk GST.

Walaubagaimanapun, di negeri-negeri yang tidak mengenakan GST atau sesetengahnya digelar Valued Added Tax (VAT) akan mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi kepada sektor korporat yang terlibat dengan penghasilan produk dan perkhidmatan. Manakala di negeri-negeri di Amerika Syarikat yang mengenakan GST atau VAT, banyak peluang rebet dan pelepasan cukai berkaitan dengan perkara-perkara keperluan diri seperti cukai-cukai perumahan atau pintu, hartanah, keselamatan awam, utiliti tempatan, pengangkutan dan lain-lain diberikan.

Jika dilihat daripada kelainan bentuk pelaksanaan GST atau VAT di Amerika Syarikat, kita boleh simpulkan bahawa pelbagai langkah dan insentif dikaji dan disesuaikan dengan keadaan komuniti atau rakyat setempat sama ada mengikut negeri, daerah ataupun kawasan perbandaran. Oleh itu, membolehkan kita bertanya adakah pelaksanan di negara kita kelak mengambil kira keadaan komuniti setempat ataupun dilaksanakan pada kadar yang sama diperingkat nasional.

Di Malaysia, cadangan pelaksanaan GST sebagai salah satu inisiatif Model Ekonomi Baru yang masih diperingkat perbincangan. Namun demikian, persoalan yang timbul mengenai pelaksanaan GST adakah pengenalannya akan dilakukan setelah beberapa tuntutan golongan pekerja dan rakyat amnya dapat ditunaikan?

Antaranya ialah tuntutan-tuntutan supaya kerajaan dapat memperkenalkan gaji minimum untuk semua industri pekerjaan di dalam negara, mengurangkan kadar inflasi pada ketika ini 5.7% kepada pada kadar berpatutan (sekurang-kurangnya kepada 2%), mengurangkan kadar pengangguran dan pengurangan kadar kemiskinan tegar dan separa tegar terutamanya golongan mudah miskin bandar. Rakyat juga mengharapkan kerajaan supaya memperkenalkan perkhidmatan skim insuran/takaful kesihatan milik kerajaan yang mampu milik oleh rakyat dan juga memperbaiki usaha-usaha kerajaan di dalam mekanisma mengawal kenaikan harga barangan.

Di negara-negara maju yang melaksanakan GST atau yang seumpamanya, pemerintah mereka telah berjaya menambah baik undang-undang yang melibatkan kebajikan pekerja. Antaranya ialah memperkenalkan gaji minimum di dalam perusahaan dan perkhidmatan, perlindungan pekerja, insentif cukai sebagai galakan kepada majikan untuk menyediakan pusat jagaan anak-anak pekerja, pelepasan cukai untuk belanja kesihatan majikan untuk pekerja mereka dan lain-lain lagi. Malah, pemerintah juga memberikan pelepasan cukai pendapatan yang lebih tinggi kepada sesetengah kategori pekerjaan dan bagi yang berkeluarga supaya dapat menyerap kesan GST apabila dilaksanakan.

Memandangkan pelaksanaan GST di Malaysia masih dibahaskan dan dirangka oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), semalam seorang Profesor dari Sekolah Ekonomi London (LSE), Danny Quah yang merupakan salah seorang penasihat MPEN menyatakan cadangan MPEN mengenai pengurangan cukai pendapatan dan korporat untuk mengurangkan kesan GST. MPEN mencadangkan pengurangan 1% cukai korporat dan pendapatan setiap tahun untuk tempoh tiga hingga lima tahun lagi.

Beliau juga mengesyorkan bagi 80% pekerja di Malaysia yang tidak perlu membayar cukai pendapatan perlulah dibenarkan mendapat rebet bagi keperluan-keperluan asas untuk per isi rumah sebagai antara langkah-langkah untuk mereformasikan sistem percukaian di Malaysia pada masa akan datang.

Rakyat mungkin akan menyokong usaha GST berkenaan sekiranya aspek penumpuan kebajikan rakyat diutamakan oleh kerajaan terutamanya yang melibatkan kos persaraan keluarga dan pemberian rebat seperti petrol kepada pemilik kenderaan yang pernah dilakukan semasa pentadbiran Perdana Menteri yang lepas, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Program kupon subsidi makanan juga boleh dilakukan seperti yang diperkenalkan di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk golongan rakyat yang memerlukan seperti warga-warga emas, pesara kerajaan yang menerima wang bersara kurang dari RM1500 sebulan, ibu-ibu tunggal, rakyat kurang upaya dan mereka yang memerlukan bagi mengurangkan beban perbelanjaan mereka. Malah, program skim insuran kesihatan dan hospital berkelompok yang ditaja dan dibiayai sebahagiannya boleh juga diperkenalkan bagi rakyat Malaysia supaya mampu mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik di pusat-pusat kesihatan swasta.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan perkembangan semasa dan selepas pilihanraya kecil di Sibu dan Hulu Selangor baru-baru ini yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com