Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Malu Kisah Tamak Keluarga AlBukhary

Saudara Pengarang,

Saya selaku seorang Islam yang tidak berketurunan Syed di bumi tercinta Malaysia ini terpanggil untuk menulis surat ini bagi menyatakan kekesalan terhadap sikap tidak Islamik yang ditunjukkan oleh keluarga isteri kedua Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Mohamed Al-Bukhary.

Ramai sedia mengetahui bahawa si mati telah memberikan kekayaan beliau sebanyak RM400 juta kepada isteri keduanya dan kedua-dua anak perempuan hasil perkahwinan dengan isteri keduanya itu. Isteri keduanya itu adalah seorang Muallaf yang pernah bernama Moo Nyok Yin, 67 yang menggunakan nama Islam sebagai Puan Sri Sofiah Moo. Anak-anak perempuannya masing-masing berumur 44 dan 42 tahun dengan salah seorangnya berkahwin dengan jutawan terkenal Melayu yang memiliki kekayaan lebih daripada RM6 billion.

Beliau ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang merupakan Pengerusi Yayasan AlBukhary yang memiliki kepentingan ekuiti di dalam Bank Muamalat Bhd, DRB Hicom Bhd, MMC Bhd, Pernas International Holdings Bhd, Syarikat Bina Puri Bhd dan banyak lagi.

Tan Sri Mokhtar (gambar bersama isteri), anak Kedah pernah dilihat sebagai salah seorang anak didik Tun Mahathir semasa Tun menjadi Perdana Menteri yang berjaya di dalam pelbagai perniagaan selain daripada kesempatan yang ada setelah berkahwin dengan anak jutawan. Yayasan AlBukhary memang banyak membuat sumbangan derma dan jumlah sumbangan dermanya mencecah lebih RM1 billion sehingga tahun lepas.

Tetapi hampir 70% adalah derma dan sumbangan kepada orang Islam yang memerlukan di negara-negara Islam yang lain seperti Palestin, Lebanon dan negara-negara Islam Afrika. Sumbangan di dalam negaranya banyak dibuat semasa bulan Ramadhan dan antara ikon sumbangannya ialah pembinaan Muzium Kesenian Islam Antarabangsa di ibu negara dan Kompleks Al-Bukhary di Kedah.

Projek terbarunya ialah menyumbang RM500 juta untuk pembinaan Universiti Antarabangsa Al-Bukhary di Kedah yang telah memulakan pengajian kumpulan pertama pada tahun lepas. Namun begitu, 70% daripada pelajar-pelajar di sini adalah pelajar-pelajar kurang berkemampuan dari luar negara yang diberikan biasiswa penuh dan selebihnya adalah pelajar-pelajar tempatan.

Tidak dinafikan sumbangan beliau kepada dunia Islam tetapi lebih bersifat antarabangsa dan bukannya melebihi keperluan anak Melayu atau Bumiputera Islam yang masih ramai tidak mendapat peluang dan sumbangan yang sewajarnya. Ini adalah contoh jelas laksana perumpamaan Melayu, Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Berbalik kepada isu utama iaitu keluarga mentua beliau iaitu keluarga Allahyarham  Syed Kechik Albukhary.(gambar atas) Syed Kechik sebelum berkahwin dengan isteri Muallaf berbangsa Cina ini pernah berkahwin dengan wanita Melayu bernama Eshah Abdullah,75 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Syed Gamal Syed Kechik. Namun begitu, perkahwinan mereka tidak lama dan Syed Gamal diletakkan di bawah penjagaan dan dibesarkan oleh ibunya. Mereka bercerai sebaik sahaja Syed Gamal dilahirkan.

Syed Kechik dan Eshah (gambar kiri) bertemu semasa kedua-duanya belajar bersama pada tahun 1957 di United Kingdom. Mereka berkahwin pada tahun 1962 selepas Syed Kechik menamatkan pengajian undang-undang dan pulang dari UK tetapi mereka bercerai pada tahun 1965. Selepas bercerai, Eshah dan anaknya itu pulang untuk tinggal di Kelantan selama 7 tahun tetapi datang semula ke Kuala Lumpur apabila Eshah mendapat kerja sebagai guru.

Ketika pulang semula ke KL, Eshah tidak mampu menyewa rumah dan beliau terpaksa menyewa bilik di sebuah rumah kediaman di ibu kota untuk bersama-sama anaknya itu. Mereka tinggal di rumah orang itu hampir 10 tahun. Kini, Eshah pulang untuk tinggal di Kelantan dan sedang bergelut dengan penyakit kanser.

Syed Kechik seakan-akan melupai bahawa beliau mempunyai seorang anak dan diberitakan bahawa Syed Gamal tidak mendapat kasih sayang dan hak sebagai seorang anak jutawan. Hanya ketika anak lelaki tunggalnya itu sudah berumur 35 tahun, barulah Syed Kechik memberikan elaun sebanyak RM2000 sebulan kepada Syed Gamal. Adakah elaun RM2000 itu setimpal dengan kekayaan melimpah ruahnya? Syed Kechik menjadi kaya raya kerana hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Datuk Senu Abdul Rahman, seorang menteri kabinet bagi merealisasikan impian menjadi jutawan. Syed Kechik menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Senu. Akhirnya beliau membuka sebuah syarikat yang dikenali sebagai Syed Kechik Holdings Sdn Bhd.

Syed Kechik memberikan elaun berkenaan apabila mengetahui bahawa ramai orang yang mula mendengar tentang tindakan zalimnya kepada anak lelaki tunggalnya itu dan perkara sebegini tidak baik kepada nama baiknya, perniagaannya dan juga nama baik menantunya yang mulai mengorak langkah ketika itu untuk menjadi orang Melayu terkaya di Malaysia. Namun begitu, Syed Kechik pernah menyara pembelajaran Syed Gamal untuk belajar di sebuah universiti swasta yang murah di California yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia semasa umurnya 20 tahun.

Walaubagaimanapun, ianya adalah satu dosa besar seorang bapa yang mengabaikan anaknya. Semoga ALLAH akan memberikan apa yang layak kepada seorang ayah yang alpa akan tanggungjawabnya sebagai seorang Melayu Islam yang berketurunan Syed. Di Malaysia, mereka yang mempunyai nama Syed di hadapan dikatakan sebagai keturunan Nabi Muhammad S.A.W. Kebenaran akan tanggapan ini masih tidak jelas. Apapun, arwah Syed Kechik sesungguhnya memalukan nama baik Rasullullah S.A.W sekiranya benar membawa nama keturunan tersebut.

Esok adalah hari bapa sedunia. Cerita ini adalah satu contoh teladan akan kezaliman seorang ketua keluarga yang bukan sahaja meninggalkan isteri tetapi juga tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa kepada keturunannya yang sah. Syed Kechik akhirnya meninggal dunia akibat sakit jantung pada umur 80 tahun pada April tahun lepas.

Untuk pengetahuan pembaca, Syed Gamal (gambar kiri bersama keluarga) mendapat punca rezeki dengan memiliki sebuah kafe siber di Kelantan dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di dalam bidang hartanah. Beliau pernah melakukan banyak kerja untuk meneruskan hidup bersama ibu dan keluarganya termasuklah bekerja di Domino Pizza gara-gara sukar mendapat pekerjaan yang baik dengan ijazah pentadbiran perniagaan yang ada kerana universiti yang beliau pergi tidak diiktiraf. Syed Gamal sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak masing-masing berumur 9 tahun dan 1 tahun dan menetap di Kelantan.

Syed Gamal pernah bercerita bahawa setelah pulang belajar dari Amerika Syarikat, ayahnya pernah menawarkan tempat untuknya menyertai syarikatnya. Tetapi ayahnya itu memberikan pilihan yang sukar kepadanya. Ayahnya menyuruh Syed Gamal supaya memilih sama ada ayahnya ataupun ibunya. Dengan memberikan jawapan bahawa beliau terpaksa memilih ibunya, tawaran bekerja dengan ayahnya itu ditarik balik.

Syed Gamal seorang yang baik, lemah lembut baik bahasa dan menjalani cara hidup sederhana. Tetapi kini setelah Syed Kechik meninggal dunia, sebagai seorang Islam dan berketurunan Syed Gamal, beliau layak dan berhak kepada harta peninggalan Syed Kechik yang menuruti Syarak.

Sungguh menyedihkan apabila pembacaan wasiat dibuat mengenai harta si mati berjumlah RM400 juta, sehingga ke mati pun, Syed Kechik tidak meninggalkan apa-apa harta kepada anak lelakinya itu. Kesemua hartanya diberikan kepada isteri keduanya, Sofiah Moo Abdullah dan kedua-dua anak perempuannya dengan Sofiah.

Oleh kerana Syed Gamal mahukan haknya di dalam sejumlah harta bapanya itu, demi keadilan, Syed Gamal telah membawa kes tuntutan itu ke Mahkamah Syariah yang akhirnya menyebelahi beliau. Mahkamah Syariah pada 14 September tahun lepas telah memberikan injuksi kepada Syed Gamal bagi menghalang 44% daripada estet RM400 juta Syed Kechik itu dijual atau dicairkan.

Ini bermakna Syed Gamal selaku anak lelaki mengikut undang-undang serah wasiat harta Islam mempunyai hak ke atas 44% daripada RM400 juta yang bernilai hampir RM180 juta. Kerana kalah, adik-adik tirinya itu merayu pula ke Mahkamah Rayuan Syariah dan sekali lagi kemenangan diberikan kepada Syed Gamal pada 11 November 2009.

Undang-undang wasiat Islam sudah cukup cantik dan adil tetapi tidak di mata Syed Kechik dan keluarga isteri keduanya. Mungkin kerana seorang Muallaf berbangsa Cina yang masuk Islam hanya kerana ingin berkahwin dengan seorang Islam, adalah penyebab bagi Sofiah tidak nampak kecantikan Islam keseluruhannya. Pastinya undang-undang sivil berkaitan pengagihan harta yang boleh memenuhi nafsu sendiri adalah lebih menarik agaknya.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan kedua-dua peringkat Mahkamah Syariah itu, si balu Cina Islam itu dengan kedua-dua anak perempuannya itu membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi Sivil dan mahkamah telah membuat keputusan dengan memberi injuksi atau kebenaran kepada mereka bagi menghalang abang tiri mereka daripada terlibat di dalam urusan Syed Kechik Holdings Sdn Bhd. Keputusan ini dibuat oleh hakim berbangsa India, Ananthan Kasinather pada 15 Jun 2010 dan memberikan satu kemenangan bagi keluarga balu Cina ini yang menolak hukum Allah.

Syed Gamal seterusnya pada 15 April 2010 telah menfailkan permohonan kaveat untuk menghalang Moo dan anak-anaknya itu daripada dilantik sebagai pentadbir estet Syed Kechik dan semalam sepatutnya permohonan ini didengari dan keputusan tersebuat dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng tetapi ditangguhkan hakim sehingga 14 Julai ini. Hakim berpendapat bahawa kes ini memerlukan perbicaraan penuh sebelum beliau boleh membuat keputusan.

Semalam juga terjadinya satu kenyataan peguambela kepada keluarga isteri kedua Syed Kechik yang mengguriskan hati banyak pihak terutamanya pengamal undang-undang syariah dan orang Islam kebanyakan. Peguam berbangsa India itu, Datuk N. Vijay Kumar memberitahu mahkamah bahawa Syed Gamal tidak layak mentadbir estet kekayaan Syed Kechik kerana Syed Gamal didakwa tidak menghormati undang-undang sivil.

Bukan itu sahaja, peguam itu dengan megah menuduh bahawa Syed Gamal berfikir bahawa undang-undang Syariah lebih tinggi dari undang-undang Sivil. Keceluparan peguam India ini adalah kerana Syed Gamal telah menggunakan saluran Mahkamah Syariah untuk menuntutkan haknya sebagai pewaris yang sah di dalam kes ini.

Apa yang dituduh oleh kem Sofiah Moo itu amat mengecewakan. Undang-undang syariah berkaitan pembahagian harta pusaka yang dimiliki seorang Islam sewajarnya dihormati dan digunapakai. Inilah masalahnya di dalam negara ini. Kerajaan hari ini gagal mentakrif kedudukan undang-undang Syariah di dalam negara ini. Kerajaan sepatutnya meletakkan dan mengklasifikasikan beberapa jenis undang-undang Syariah seperti harta sepencarian dan wasiat sebagai undang-undang tertinggi jika yang terlibat adalah orang Islam.

Janganlah hanya undang-undang perkahwinan dan perceraian berlandaskan syarak sahaja diambil kira sebagai undang-undang utama umat Islam. Tidak mengapa kalau undang-undang lain seperti jenayah digunapakai sebagai undang-undang utama untuk sesiapapun tidak kira apa-apa agama pun. Tetapi undang-undang syarak inheritance adalah tuntutan di dalam Islam yang sama penting dengan undang-undang keluarga Islam.

Raja-raja Melayu selaku Ketua Agama Negeri dan kerajaan yang dilantik oleh rakyat kena melihat akan sensitiviti perkara ini. Kejahilan dan kezaliman orang Islam ternama seperti keluarga AlBukhary ini adalah petunjuk kepada  hasil sebenar sejauh manakah Islam diperjuangkan oleh kerajaan BN hari ini yang kononnya mendakwa pembangunan negara berjalan selaras dengan pembangunan Islam terutamanya kepada orang Islam itu sendiri.

Mungkin anda tertanya-tanya kenapa saya menulis surat ini. Saya mengaku bahawa saya bukan ahli keluarga, rakan atau kenalan Syed Gamal tetapi seorang yang bersimpati melihat bagaimana golongan yang dikayakan oleh kerajaan memerintah hari ini membuat kemungkaran dan kezaliman kepada sanak saudara keluarga sendiri. Saya akui saya tidak pun akan mendapat apa-apa sen pun seandainya Syed Gamal menjadi jutawan. Saya pun bukannya rakannya dan bersumpah beliau tidak kenal saya pun. Hanya saya bosan dengan benda-benda memalukan bangsa kita yang sudah pun diberikan nikmat keadilan Islam yang tidak digunakan di dalam kehidupan kita. Saya bukannya mempunyai profesion undang-undang tetapi saya yakin semua ini tidak perlu berlaku. Jika keluarga balu Cina ’Islam’ itu takutkan Allah, maka counter suit menggunakan undang-undang manusia pula melawan undang-undang Islam adalah satu perkara yang melampau dan kufur hanya tamak akan harta keduniaan.

Tujuan saya menulis ini ialah untuk menunjukkan rasa muak dan benci saya kepada apa yang berlaku di dalam keluarga Syed AlBukhary ini yang memalukan institusi Syariah dan Islam di negara ini. Dan saya menggesa pembaca supaya sedar akan kezaliman keluarga-keluarga hartawan laksana drama-drama  ’Dynasty’ dan ’Dallas’ yang dicipta melalui program pengkronian UMNO. Jika dengan darah daging pun boleh diperlakukan begini, bagaimanakah pula dengan orang ramai.

Negara akan menunggu permainan kejam sebegini dan menunggu pendedahan isu mahkamah yang nampak hampir sama dengan pergelutan merebut estet Naza oleh kaum keluarga Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin tidak lama lagi. Dengan melaksanakan sistem kroni sebegini, sebab itulah kekayaan negara tidak pernah sampai ke segenap rakyat Malaysia terutamanya kaum Bumiputera hari ini. Kerana itulah mobiliti orang Melayu tidak banyak berubah sejak 3 dekad yang lalu.

Jika menantu Syed Kechik iaitu Syed Mokhtar bercakap mendayu-dayu mengenai sumbangannya kepada Islam yang memang tidak dapat dinafikan walaupun kebanyakannya diberikan kepada fakir miskin di luar negara. Apapun janganlah sampai cakap tak serupa bikin bila bersekongkol dengan keluarganya menganiayai kaum keluarga sendiri. Nasihat terakhir:- Selesaikanlah pergelutan ini secara kehendak Islam kerana kalian semua adalah penganut Islam!


Tidak perlu jadi ’Syed’ untuk tegakkan Islam


* Pihak KL-Today tidak bertanggungjawab dan tidak wajar dipertanggungjawabkan di atas maklumat dan kesan-kesan akibat daripada penulisan ini.

16 comments

1 kl-tomorrow { 06.20.10 at 1:37 am }

Jelas penulis artikal ini bersentimen perkauman. Lihat saja contoh bila dia menyebut balu syed kechik dengan gelaran ‘islam cina’ apakah motif penulis? Adakah sengaja hendak memnekan bahawa mualaf di negara ini tidak mempunyai hak walaupun pada dasarnya merupakan keluarga baru islam? Atau adakah penulis sudah tersasar dlm penulisannya yang terlalu mengikut hukum alam islam dan tidak menitikberatkan perasaan mualaf lain yang membaca artikal ini
.

2 admin { 06.20.10 at 9:52 am }

Penulis menulis sedemikian di dalam suasana memberikan ‘kemungkinan’ perkahwinan Syed Kechik dan Moo tidak berdasarkan ‘keikhlasan’ Moo memeluk Islam kerana Islam tetapi lebih kepada ingin berkahwin. Penulis memberikan bentuk kefahaman ‘mungkin’ sebagai sebab yang membuatkan keluarga isteri kedua itu tidak memandang tinggi kesucian tuntutan Islam di dalam isu inheritance. Penulis sengaja mendedahkan stigma perkahwinan antara agama pada hari ini yang menurutnya banyak berlaku kerana ‘cintakan’ suami daripada cinta kepada ALLAH.

3 syed sayid shit { 06.20.10 at 4:14 pm }

keturunan ape pon xde beza pada saya.. mati pegi kubur gak. pastu duit gak jadi ukuran.. xde beza langsung..

4 anak_perelih { 06.28.10 at 5:09 pm }

tambahan… Syed Mokhtar, menantu kepada syed kechik… juga adalah anak saudara Syed Kechik…

5 rz { 08.03.10 at 5:24 pm }

saya bersimpati dan berharap agar kes ini di pihak yang benar dan memberikan keputusan yang sewajarnya yang jelas dan yang pasti dari segi hukum syarak dan undang2 syariah Islam, tidak boleh menidakkan hak pembahagian harta untuk si anak lelaki (faraid). Pada Syed Gamal dan isterinya yang tercinta, bersabarlah dan tabah menghadapi ujian Allah ini…

6 syed { 10.08.10 at 11:01 pm }

sy keturunan syed dan yang jd masalah sekarang ni family ingin menjodohkan sy dgn keturunan syed juga dan dlm masa yg sama sy telh berkenalan dgn keluarga bkn keturunan syed…

7 syed prihatin { 11.20.10 at 11:43 am }

kepada insan yang suka komen kesalahan keluarga orang berhentilah. balik rumah tengok keaiban keluarga sendiri .jangan asyik mengumpat keluarga orang .bagus sangat ke keluarga kamu sampai sayik cerita aib keluarga orang .ini kata pepatah melayu : gajah depan mata tak nampak ,kuman diseberang di sibukkan .muhasabah diri ,penat beramal habis diambil orang yang kamu umpat.

8 Yosri Assaiburi { 06.17.11 at 12:25 pm }

Salam, saya baru terbaca dan saya sedih sbb saya ada hubungan dgn mereka ini. Inilah bila kita sebenarnya tidak mampu utk buat keputusan utk negara kita sendiri, bkn kuasa politik shj perlu juga kuasa imanpd mereka dan kita yg pegang kuasa politik,habis tergadai tanah tercinta.

9 nora { 08.12.11 at 10:34 am }

semoga segala urusan mereka dapat diselesaikan dengan aman,,

10 marul { 11.08.11 at 1:22 pm }

Saya tak pernah heran dengan keluarga Syed nih….sebab tidak semestinya keturunan syed ni datangnya benar-benar dari Nabi Muhammad S.A.W. Bahkan bapa saudara baginda adalah Abu Lahab dan dia adalah juga saudara dekat kepada baginda. Jadi kene hati2 dengan keturunan syed sebab Abu Lahab juga pembawa kepada keturunan yang dihormati dikalangan bangsa arab dan kebanyakan orang melayu kita ni bukan jelas benar dengan salahsilah keturuan syed yang patut dihormati ini. Jadi saya jelaskan disini keturunan syed bukanlah pewaris nabi. Bahkan ramai juga dikalangan mereka membuat onar macam pak sedara baginda. Wallahua’lam.

11 syed alwi { 03.20.12 at 10:48 pm }

keturunan syed adalah keturunan dari salasilah nabi Muhammad s.a.w….keturunan ini adalah lebih mulia dari org lain kerana ianya keturunan nabi…tapi sekiranya mereka bersifat jahat, dia tetap hina disisi Allah…seperti contoh Abu Lahab, Abu jahal…tetap jadi isi neraka, kerana tidak taat perintah Allah walaupun dia keturunan nabi…tapi sekiranya syed atau sharifah ini soleh dan solehah, dia lebih mulia darjatnya dari kita yang soleh dan solehah kerana mereka keturunan nabi sedangkan kita bukan….sekiranya kita sembahyang sama mcm syed sembahyang, tapi sembahyang mereka lagi dipandang tinggi, ini kerana itu kehendak Allah, kerana nabi Muhammad adalah pembawa rahmat pada seluruh alam dan manusia, itu sebab tuhan bagi beza keturunannya…tapi ingat, walaupun keturunan nabi tapi perangai macam setan, jadilah anak guru setan dan duduklah dalam neraka….salam

12 abdul shukoor { 04.12.12 at 4:11 pm }

byak lagi hutang2 yayasan bukhary dengan syarikat luar bagi pembinaan masjid2. tak payah nak agungkan sangatlah.

13 sharifah { 07.09.12 at 5:20 pm }

hmm.. nampaknya article dan beberapa komen2 diatas ini kebanyakannya berbaur kedengkian.. kenapa ye???

14 Unknown { 07.12.12 at 1:18 pm }

setahu saya anak2 lelaki Baginda Rasullullah swt semuanya telah meninggal, hanya tinggal anak2 perempuan. Jadi lama kelamaan habislah salasilah itu…

Dah hampir puasa ni, hentikan semua ni dan marilah kita mempersiapkan diri untuk memasuki Ramadhan Al-Mubarakh.

15 maa { 08.23.12 at 9:36 pm }

bercakap biar berlandaskan ilmu yg benar,kalau tak tau diam,jgn buat2 pandai,kalau rajin bertanyalah pd guru yang benar,jgn ikut nafsu semata2.jgn menyalahkan keluarga keturunan syed jika ia melibatkan sikap seseorang…keturunan tidak dapat diubah,perangai dan sikap dapat diubah..jgn menghina keturunan sesiapapun walaupun bukan org islam,apatah lg org islam yg berketurunan nabi,manusia yg sgt dicintai Allah…ingat wahai semua…berfikir dan meneliti sebelum mengeluarkan kenyataan @ komen…jadilah org yg bijak..

16 hafiz { 08.29.12 at 1:37 am }

penulis menulis atas dasar emosi, sebenarnye… siape yang berusehe, die akan berjaye, syed mokhtar banyak membantu rakyat malaysia tidak mengire kaum dan agame. disebabkan kekayaan nya melimpah ruah, saluran kewangannye pergi pule membantu masyarakat islam di luar sane. patutnye kite yang kene nilai diri sendiri, tabung masjid untuk diidi RM1 pun dah jadi masalah, inikan pule sumbangan yang luar biase