Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Garis panduan tanam semula sendiri

Honeymah Dadameah

Ini pula jawapan yang KL- Today dapat mengenai isu tuntutan wang tanam semula oleh peneroka yang tanam semula sendiri menjadi perhatian umum sejak Kes Felda Sg. Koyan 2 & 3 daripada blog Generation Cyber (GC) . Mengikut GC, terdapat garis panduan seperti berikut yang sepatutnya dipatuhi oleh peneroka yang ingin menuntut wang tanam semula daripada FELDA seperti berikut:-

i. Menyiapkan kerja-kerja tebang/racun pokok tua sehingga reput ke pangkal.
ii. Menyiapkan kerja membaris supaya memperoleh 55 pokok tapak tanaman seekar.
iii. Menyiapkan kerja menanam & menyulam.
iv. Memastikan kebun bersih, pokok subur & ada kawalan perosak dan penyakit.

Garis panduan yang diwujudkan oleh FELDA ini perlu dijelaskan supaya segala kemusykilan dapat dirungkaikan. Daripada 4 syarat yang terkandung dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh FELDA, GC menjelaskan mengenai syarat yang pertama kerana ianya merupakan syarat yang mesti dipatuhi demi kepentingan bersama.

Untuk makluman semua, pokok sawit terdedah kepada beberapa penyakit seperti Penyakit Ganoderma/Penyakit Reput Pangkal Batang (RPB) dan sehingga kini, tiada lagi penawar yang dapat mengubati penyakit RPB ini. Kajian oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati lebih 50 % kawasan tanaman sawit di Semenanjung Malaysia menghadapi ancaman serangan penyakit RPB.

Serangan penyakit RPB menyebabkan kemusnahan sehingga 80% pokok sawit sekiranya berlaku pada tempoh pembesarannya yang produktif. Serangan Ganoderma pada kadar 31 hingga 67 % akan mempengaruhi penghasilan buah tandan segar antara 26 hingga 45 % yang sekaligus boleh menyebabkan kerugian kepada peneroka pada masa akan datang. Kajian MPOB juga mendapati, pokok sawit yang ditanam dengan kaedah tanaman bawahan (under planting) merupakan punca utama berlakunya penyakit RPB kepada pokok sawit.

Seperti semua sedia maklum, ladang-ladang milik peneroka dibangunkan secara bersebelahan antara satu dengan yang lain. FELDA menetapkan syarat-syarat di atas supaya peneroka yang ingin tanam semula sendiri dapat menggunakan wang tanam semula tersebut bagi menyiapkan kerja-kerja menebang/meracun pokok sawit tua sehingga reput kerana tidak mahu penyakit RPB menyerang anak pokok sawit peneroka yang baru ditanam sehingga menyebabkan kerugian kepada peneroka.

Selain itu, jika ada peneroka yang berdegil tidak mahu menebang/meracun pokok sawit tua sehingga reput yang akhirnya menyebabkan penyakit RPB tersebar dan menyerang pokok sawit milik peneroka lain, siapa yang akan dipertanggungjawabkan?

Adakah Mazlan Aliman dan sekutu-sekutunya yang akan menanggung kos pemulihan ladang-ladang peneroka terlibat? Jika industri sawit negara terjejas dan menyebabkan peneroka-peneroka FELDA hilang punca pendapatan, adakah Mazlan Aliman dan sekutu-sekutunya yang akan memberikan bantuan kewangan kepada peneroka?

Sehubungan itu, adalah digalakkan peneroka untuk terlibat dengan program tanam semula bersama FELDA supaya masalah-masalah seperti penyakit RPB ini tidak berlaku dan ‘Good Agriculture Practices’ dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

GC merasakan bahawa FELDA tiada halangan bagi peneroka yang ingin tanam semula sendiri dan menuntut wang tanam semula daripada FELDA, asalkan mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan demi kepentingan bersama seluruh warga peneroka.- KLToday.com