Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Idris jelas kenapa subsidi dikurangkan

Memansuhkan subsidi barangan keperluan utama amat memeritkan jika tindakan itu dilakukan dengan cepat dan spontan. Justeru, apabila mengurangkan subsidi, ia perlu dijalankan secara berperingkat dan perlahan – demikian permintaan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.
“Lazimnya, menerusi perbualan dengan rakyat, mereka memahami mengapa subsidi tidak boleh diberikan berterusan. Tetapi kata mereka, perlahan-lahan lah, jangan naikkan harga secara mendadak,” katanya di Putrajaya Khamis lalu.

Dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) sejak setahun setengah yang lalu, Idris kerap kali bertemu rakyat bagi menjelaskan mengapa subsidi perlu dimansuhkan.

“Kami gunakan SMS, bancian, sesi penerangan di dewan. Terdapat komen fundamental. Mereka beritahu lakukan secara kecil dan naikkan harga beberapa kali dalam jangka masa yang panjang. Itu yang telah kami lakukan…

“Kami mempunyai plan rasionalisasi… saya fikir rakyat perlu membiasakan diri hingga mereka kata ia adalah okay,” katanya.

Mengikut cadangan struktur harga petrol RON95 yang lazimnya digunakan oleh kebanyakan pemilik kenderaan kelas pertengahan dan rendah, bahan api itu seatutnya dinaikkan 15 sen menjadi RM2.05 seliter sekarang ini dan dinaikkan 10 sen lagi menjelang akhir tahun ini.

Tahun lalu, petrol RON95 dinaikkan dua kali – lima sen seliter setiap kali pada Julai dan Disember.

Jika plan PEMANDU diikuti sepenuhnya, harga petrol RON95 akhirnya akan dinaikkan kepada RM2.60 seliter menjelang 2015.

Sementara itu, semalam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersalahkan tindakan kerajaan persekutuan yang menarik subsidi sebagai punca harga makanan melambung naik.

Dengan berbekalkan perangkaan dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Bangsa-bangsa Bersatu (FAO), katanya, peningkatan harga makanan di Malaysia adalah dua kali lebih tinggi daripada purata dunia.

“Kenaikan harga makanan adalah tertinggi pada tahun 2008 akibat kenaikan harga minyak dan petrol. Kita menjangka kesan yang sama untuk tahun 2011.

“Pada kadar kenaikan harga makanan sekarang dijangka pada akhir tahun 2011, rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih dari harga kos setiap jenis makanan berbanding pada tahun 2005,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Menurut Anwar, kenaikan harga makanan kepada 4.9 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan kos barangan akan berterusan dan dikhuatiri mencecah 8.8 peratus akhir tahun ini seperti yang berlaku tiga tahun lalu.

1 comment

1 Raden Nasir { 05.21.11 at 1:26 pm }

Tahniah kerajaan BN sesuai dengan motto Parti BARANG NAIK! UNDI BN UNDI BARANG NAIK!!