Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Zamihan terus serang Wahabi & Syiah

Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata Wahabi dan Syiah merupakan ancaman utama kepada keselamatan negara dan pihak berkuasa perlu memberi perhatian secara menyeluruh untuk membendung kedua-dua fahaman itu agar tidak membawa kepada pemikiran radikal.“Ancaman pemikiran terbesar di negara kita sekarang ialah Wahabi dan Syiah… pemikiran yang ekstrem… (kerajaan) perlu bendung bagi mengharmonikan amalan fahaman Sunah Waljamaah di Malaysia,” kata Zamihan Mat Zin, yang kini merupakan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras di Institut Latihan Islam Malaysia, agensi di bawah penyeliaan Jakim.

Zamihan, yang menjadi perhatian di sebalik polemik fahaman Wahabi sejak tahun lalu berkata, “jika tidak dibanteras, ia berpotensi untuk mengganggu-gugat sistem etika pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.”

Zamihan berkata mengikut kajiannya fahaman Wahabi dan Syiah masing-masing mempunyai pengikut sekitar sejuta orang.

Zamihan memberitahu  jika dibiarkan ia akan “menyuburkan gejala ekstremisme agama sebagaimana berlaku di Pakistan, Afghanistan, Iraq, Indonesia dan Chechnya.”

Sambil menarik perhatian kepada tindakan sesetengah pihak melakukan perkara itu dengan sokongan pihak luaran, beliau menambah, ada pendakwah yang menerima bantuan kewangan dalam bentuk elaun daripada menerusi kedutaan asing di sini untuk mengadakan aktiviti yang boleh menyuntik fahaman.

“Ada pendakwah menerima elaun bulanan, dalam jumlah besar… memang ada bukti. Memang pihak berkenaan akan menafikan, kalau saudara tanya mereka mesti menafikan, tetapi kami ada bukti,” kata beliau lagi.

Dalam ulasan sebelum ini, Zamihan mempertahankan tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sambil menegaskan, isu amalan Wahabi menjadi semakin serius.

Zamihan juga mendakwa sebelum ini bahawa amalan fahaman Wahabi berleluasa dengan mendapat perlindungan dan campur tangan ahli-ahli politik, malah menular ke agensi-agensi agama di peringkat nasional dan negeri.

MKN telah mengadakan mesyuarat khas Isnin lalu bagi membincangkan perkara tersebut. Difahamkan mesyuarat merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan dalam terorisme.

Mesyuarat itu susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi dan di Bukit Aman.

Ia telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Mereka ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno termasuk Fathul Bari Mat Jahya.

Zamihan menjadi perhatian ekoran pendedahan media tahun lalu susulan satu sesi taklimat yang mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu Asri, Juanda, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitang dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Bagaimanapun dalam penjelasannya sebelum ini, Zamihan menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Semalam, Juanda Jaya melahirkan rasa lega kerana Putrajaya tampil dengan penjelasan mengenai isu Wahabi termasuk penegasan bahawa Arab Saudi tidak mempelopori keganasan dan ajaran sesat di negara .ini menerusi fahaman itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan tidak pernah menganggap negara di rantau Asia Barat termasuk Arab Saudi sebagai negara yang mempelopori keganasan dan ajaran sesat.

Sebaliknya kata Jamil Khir, kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan negara di rantau itu kerana tiada bukti yang boleh mengaitkan mana-mana negara dengan aktiviti keganasan.

“Bagi pihak kerajaan, kita sentiasa menjaga hubungan yang terjalin antara negara luar termasuk Arab Saudi, Jordan, Iraq dan sebagainya.

“Selain itu, kita ambil pendekatan berhati-hati agar unsur-unsur keganasan tidak cuba dibawa masuk ke negara ini kerana ia akan membawa perpecahan,” kata beliau.

Jamil Khir berkata secara umumnnya keganasan pada waktu ini bukan atas nama kumpulan atau negara tetapi ia kadang-kadang datang daripada individu-individu tertentu.

Pertemuan dengan Zamihan berlangsung sehari sebelum kenyataan rasmi Jamil Khir itu.

Ditanya mengenai dakwaan berkaitan amalan Wahabi dengan hubungan diplomatik, Zamihan berkata, ini bukan soal hubungan dua hala akan terjejas ataupun sebaliknya.

Tetapi kata beliau, ia berkaitan dengan soal membantu menjaga keselamatan dan kepentingan bersama.

“Kalau anda datang ke sini, anda kena jaga sensitiviti kami. Begitu juga apabila kami pergi ke negara anda, kami kena menjaga sensitiviti dengan tidak membawa fahaman kami.

“Saya pasti mana-mana negara pun akan mengambil tindakan atau menghalau keluar jika rakyat negara lain membawa fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara dikunjungi,” kata beliau.

“Misalnya jika rakyat Iraq datang ke Malaysia dan membawa dadah, dan jika kita tangkap… adakah ia akan menjejaskan hubungan dua hala, hubungan diplomatik. Saya rasa tidak, jadi begitu juga dalam soal fahaman agama ini. Jangan bawa fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya lagi sambil menambah, “ini bukan tuduhan, tetapi hakikat yang berlaku.”

“Mana-mana negara pun kena penyakit ini,” kata Zamihan yang turut berkata beliau telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2006.

Zamihan dalam tiga bulan lepas melemparkan kritikan keras terhadap Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais  (gambar kiri) hari ini dengan mendakwa tokoh agama itu bersifat “maksum” sehingga seolah-olah tidak boleh dikritik oleh sesiapa.

“Sesiapa sahaja boleh mengkritik dan dikritik kecuali Nabi dan Rasul yang diberikan sifat maksum oleh Allah, kritikan beradab adalah amalan sihat dan digalakkan dalam Islam kerana ia boleh menjadikan ia sebagai mekanisme penentu baik atau buruk sesuatu perkara selain digunakan sebagai instrumen penambahbaikan bagi seseorang,katanya ketika itu.

Namun begitu, kerajaan melalui Jamil Khir menafikan kerajaan menganggap kedatangan Sheikh Dr Abdul Rahman sebagai usaha yang didakwa Zamihan tersebut ketika itu. Malah, kedatangan imam itu adalah atas jemputan kerajaan sendiri.

1 comment

1 Calon Perdana Menteri { 07.31.11 at 5:31 pm }

Di mana JAKIM ketika Arwah Ashraf Sesat di Jalan Terang
——————————————————————————————–

Alangkah rasa terhinanya manusia Islam yang telah menukar jantina daripada lelaki sebagai khalifah bertukar kepada wanita tanpa ada bantuan pihak JAKIM menyelesaikan masalah ini. Di dalam sebuah negara Malaysia yang ada JAKIM sebagai penyelesai masalah keagamaan Islam tidak menggunakan kemahiran untuk menarik seorang lelaki Muslim kembali ke jalan yang benar sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Di sini jelas apabila JAKIM kuat berpolitik sehingga perkara sekecil ini pun tidak mampu dilaksanakan. Bukan mahu meletakkan beban ke atas JAKIM setiap permasalahan manusia Muslim tetapi, sekiranya JAKIM berjaya mengembalikan seorang Muslim lelaki ke jalan yang benar adalah lebih baik daripada berbalah perkara yang tidak jelas. Semoga kisah Ashraf ini menjadi titik tolak kepada pihak JAKIM untuk mengembalikan ramai lagi lelaki yang telah sesat kerana menukarkan diri kepada wanita.

Insyallah negara kita tidak akan dilanda musibah sekiranya kerajaan kita tulus dan jujur dalam pentadbiran serta ini bukan isu politik tetapi ini isu tanggungjawab. Apakah rasanya sekiranya JAKIM boleh menarik ramai orang bukan Islam kepada Islam tetapi gagal memperbaiki orang Islam dilandasan yang betul? Janganlah terlalu banyak berpolitik sehingga meletakkan Syiah dan Wahabi musuh Islam kerana mereka juga ada cara mereka untuk mempercayai Islam itu sempurna. Hentikanlah permainan politik di dalam kefahaman tetapi perbaikilah kualiti Islam yang kita ada demi kepentingan rakyat dan negara.

Pernah dinyatakan di dalam Al Quran kisah di Zaman Nabi Luth, apabila datangnya bencana serta mala petaka maka akan dihukum keseluruhan kaumnya. Jika kita di zaman Nabi Luth itu pasti bukan Ashraf sahaja yang pergi buat selamanya, tetapi kita semua juga akan dihukum. Di mana JAKIM dan di mana pihak JAIT? Adakah cukup dengan mengajar mengaji Al Quran sudah memadai untuk melaksanakan Islam serta memberikan pendidikan Islam kepada seluruh Umat Islam di Malaysia. Adakah dengan mengadakan tadarus di bulan Ramadhan sudah membuatkan kita melaksanakan hukum Allah SWT.

Gunakan kuasa dan tanggungjawab itu sebaiknya. Amanah jawatan itu bukan jawatan politik tetapi ia kurniaan Ilahi supaya pihak Ustaz JAKIM berdiri teguh melaksanakan Islam dan bukan memecah belahkan Islam. Ingat pesan Pak Kiyai di zaman dulu-dulu, peradaban Islam menegur antara kefahaman Islam sama ada Wahabi atau Syiah ialah dengan cara tarik benang di dalam tepung bukan menghunus senjata atau pena menikam setiap kata-kata. Semua ada dalilnya, carilah persamaan dan peganglah…Insyallah ke syurga kita bersama…Allahuakhbar!