Bonus mahu, kualiti penjawat awam?
Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin
Sekali lagi, Datuk Omar Osman selaku Presiden CUEPACS meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini. Kali ini, beliau meminta agar pemberian bonus tersebut diberikan sebelum dan selepas Hari Raya bagi mengurangkan beban kewangan penjawat awam. Norma manusia, tiada siapa yang akan menolak pemberian bonus ini, malah hampir semua kakitangan awam mengharapkan sesuatu imbuhan daripada kerajaan. Namun, permintaan ini haruslah dikaji dari beberapa aspek, antaranya bilakah tarikh bonus itu dikehendaki.
Datuk Omar memohon bonus diberikan sebelum hari Raya, dan ini satu petunjuk bahawa Datuk Omar memohon bonus tersebut untuk dihabiskan oleh kakitangan pada hari Raya, iaitu untuk perbelanjaan Raya.
Saya memandang ini sebagai sesuatu yang tidak sihat, kerana seolah-olah Datuk mahukan penjawat awam ini beraya sakan dan menghabiskan bonus tersebut sekelip mata, sedangkan dalam keadaan inflasi yang sedang meningkat, dengan harga barang makanan yang melambung tinggi, penjawat awam haruslah merancang untuk hari Raya yang lebih sederhana.
Pepatah Melayu menyebut, “Ukur baju di badan sendiri”. Tidakkah konsep berbelanja berpada-pada menjelang hari lebaran yang harus dicanangkan oleh Datuk? Saya belum pernah terbaca sebarang laporan akhbar di mana Presiden CUEPACS menggesa penjawat awam supaya berbelanja dengan berhemah menjelang perayaan atau supaya mereka tidak membazir.
Berapa ramai penjawat awam yang menghabiskan gaji mereka – malah mungkin berhutang atau membuat pinjaman – untuk perbelanjaan Raya yang sebenarnya boleh dikurangkan? Contohnya pemberian duit raya, ia patut dielakkan oleh mereka yang kurang mampu. Ini disebabkan konsep duit raya itu sendiri tidak berasal daripada agama Islam, dan kalaupun ia dianggap sebagai sedekah, mereka harus tahu bahawa sedekah hendaklah dikeluarkan oleh mereka yang mampu, dan bukan kerana terpaksa.
Contoh lain ialah perjalanan untuk balik raya. Ramai yang mengadu harga petrol yang tinggi ditambah dengan tol menyebabkan kos perjalanan mereka meningkat menjelang perayaan. Tidakkah rakyat dapat menjimatkan perbelanjaan mereka jika mereka mengurangkan perbelanjaan pergi beraya ini?
Begitu juga dengan konsep rumah terbuka yang semakin subur menjadi budaya 1Malaysia. Ramai penjawat awam menghabiskan wang yang bukan sedikit semata-mata untuk membuat rumah terbuka. Ini juga harus dinilai semula bagi mereka yang kurang mampu, kerana rumah terbuka bukanlah amalan mereka yang berpoket kecil.
Saya bukanlah anti kepada bonus yang diminta, bahkan saya juga akan bersyukur jika mendapat bonus. Tetapi, alangkah baiknya jika Datuk Omar meminta bonus itu sempena buka sekolah. Jadi, wang bonus itu akan mengalir kepada pendidikan anak-anak sepenuhnya iaitu untuk perbelanjaan sekolah mereka.
Alangkah baiknya jika bonus dua bulan itu digunakan untuk membeli buku-buku sekolah anak-anak, pakaian mereka, termasuklah membayar yuran sekolah. Jadi tidaklah timbul lagi isu yuran sekolah tertangguh sampai ke hujung tahun lagi.
Dan saya suka mencadangkan kepada Presiden CUEPACS, di samping memperjuangkan bonus saban tahun, perjuangkanlah juga kualiti perkhidmatan penjawat awam agar rungutan masyarakat terhadap kakitangan awam berkurangan.
Laporan akhbar bahawa 8,196 kakitangan awam tidak hadir bertugas dikenakan hukuman pada 1 Julai baru-baru ini seharusnya mendapat perhatian tertinggi Datuk Omar.
Presiden CUEPACS juga wajar meminta penjawat awam agar menepati masa kerja mereka, memberikan khidmat dengan senyuman, tidak berehat melebihi masa, menyiapkan segala tugasan, tidak balik awal, tidak menyalahgunakan khidmat Internet di pejabat, malah tidak menggunakan masa kerja untuk berniaga. Belum pernah saya dengar seorang Presiden CUEPACS memperjuangkan hal-hal sebegini.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian KL-Today.com. Maka pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kesan selepas yang berlaku akibat tulisan berkenaan.


















2 comments so far
pendapat yang baik, seharusnya kita berfikir bagaimana cara terbaik dan bermanafaat dari pendapatan bonus….
memang betu apa yang di perkatakan penulis, cuepacs berjuang untuk kepentinagn ahli, tapi adakah selama ini cupacs mengambil berat mutu kerja ahli, khidmatan ahli pada masyarakat, kalu ada pun sekadar melepas gayung di tangga sahaja
dan bagi ahli2 cuepacs, sebelum menuntut untuk kebajikan sendiri, cuba perbandingkan diri dengan kecekapan dan kebulehan serta tanggung jawab pada rakyat………adakah sebagai umat islam kita sudah menunaikan amanah yang di pertanggungjawab, atau sekadar ambil nama pergi kerja sahaja…ingatlah rezeki dari menipu dan tidak amanah adalah haram, dan tidak akan di berkati, janagn pikir kita pergi kerja 8 jam sahari dah cukup beramanah, sedangkan kerja2 bertimbun yang sepatut di siapkan….dan di mana masa kita di habiskan…….di kedai, di internet, bersembang……….pikir2lah di manakah masa kerja tuan2 di habiskan
bilangan kakitangan awam ramai..tak baik menunding jari pada semua kakitangan awam…penjawat awam khasnya seperti pendidik..kami terpaksa bekerja lebih masa tanpa dapat claim overtime…gaji kami tetap sama…kos utk fotostat kertas soalan untuk para pelajar juga selalunye mnggunakan duit poket guru sendiri,..sedangkan mak bapaknye kerja hebat2 di sektor swasta..adakah pemberian bonus kepada kami seolah tak bererti…klu tak bererti siapa yang nak uruskan hal di pejabat tanah?di kementerian awam?penempatan pelajar diuniversiti awam…klu rasenye sektor swasta boleh buat sendiri silakan……