Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Harga tanah PKFZ RM21 kaki persegi

Mahkamah Tinggi di sini Isnin diberitahu bahawa penilaian kadar tanah di Mukim Klang bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah sebanyak RM18 sekaki persegi sebelum dinaikkan kepada RM21 sekaki persegi.Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah berkata jumlah tersebut adalah jumlah yang dipersetujui Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan (JPPH) setelah mengambilkira infrastruktur asas dan bayaran pendahuluan tahun pertama sebanyak lima peratus.

Tun Abd Majid menerusi ucapan pembukaan di hari pertama perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik berkata penilaian kadar itu (RM18) juga mengambil kira kadar kupon 6 peratus, tempoh bayaran balik 10 hingga 15 tahun, tiada faedah untuk tahun pertama dan kedua serta bayaran faedah sahaja untuk tahun ketiga dan keempat.

“JPPH turut mengambil kira bayaran balik secara tahunan baki termasuk faedah untuk selama enam tahun atau 11 tahun serta tempoh baki 10 atau 15 tahun dengan menggunakan kaedah discounted cash flow di mana sasaran kadar ditetapkan 8.25 peratus, kadar kupon enam peratus dan terma bayaran balik 10 tahun, nilaian tanah sebanyak RM25 sekaki persegi boleh dipertimbangkan untuk maksud keluaran bon walaupun nilai tanah hanya RM21,” katanya.

Tambah Tun Abd Majid ia merupakan kadar yang diperaku dan dipersetujui oleh JPPH dan pihak pendakwaan akan membuktikan kadar nilai faedah sebanyak 7.5 peratus setahun sebenarnya tidak diperaku dan dipersetujui oleh JPPH. “Sehubungan itu pihak pendakwaan akan menunjukkan bahwa tidak sepatutnya ada kadar nilai 7.5 peratus tambahan kepada harga tanah tersebut. Pihak pendakwaan juga akan membuktikan bahawa penilaian ini telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan oleh JPPH dan seterusnya kepada tertuduh.

“Keterangan akan dibawa untuk menunjukkan bahawa tertuduh (Dr Ling) telah menulis surat kepada Perdana Menteri (ketika itu) yang memaklumkan bahawa rundingan di antara LPK dan KDSB telah diadakan mengenai pembelian tanahtersebut berdasarkan syarat dan terma-terma telah dipersetujui oleh JPPH seperti di lampiran surat berkenaan dan diterima oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK),” katanya.


Tambah Tun Abd Majid, pihak pendakwaan juga akan membawa keterangan yang menunjukkan pada 6 November 2002, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan pembelian tanah tersebut atas dorongan oleh tertuduh yang menyatakan syarat danterma-terma pembelian tanah tersebut diperku dan dipersetujui oleh JPPH sedangkan tertuduh tahu dan sedar perkara ini adalah tidak benar dan tertuduh juga tidak mendedahkan atau menjelaskan bahawa kadar faedah 7.5 peratus ituadalah tambahan kepada nilai yang diperaku dan dipersetujui oleh JPPH.

“Pihak pendakwaan akan membuktikan beliau (Dr Ling) bertanggungjawab ke atas LPK yang terletak di bawah seliaan kementeriannya dan beliau terikat di sisi undang-undang untuk melindungi kepentingan Kerajaan Malaysia dengan tidak mendedahkan kadar faedah/kupon tambahan tersebut, telah menipu kerajaan Malaysia dengan sengaja,” katanya.

Beliau menambah bukti-bukti akan dikemukakan melalui keterangan lisan dan dokumen bagi menunjukkan kesemua intipati pertuduhan terhadap tertuduh melampaui tahap keraguan munasabah.

Sementara itu, di awal prosiding Dr Ling mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan pindaan dan dua pertuduhan pilihan (pindaan).

Bagi tuduhan pindaan (pertuduhan utama) beliau didakwa menipu Kerajaan Malaysia dengan secara sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu bahawa JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp telah pun mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dr Ling dengan itu mendorong Jemaah Menteri untuk memberi persetujuan kepada LPK untuk membeli tanah tersebut daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang mana sekiranya Jemaah Menteri didedahkan mengenai kadar faedah tambahan itu mereka tidak akan memberi persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana beliau mempunyai pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Manakala bagi tuduhan pilihan pertama (pindaan), Dr Ling didakwa sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp telahpun mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau dengan itu dengan curangnya mendorong Jemaah Menteri untuk memberi persetujuan kepada LPK untuk membeli tanah daripada KDSB yang mana sekiranya Jemaah Menteri didedahkan mengenai kadar faedah tambahan itu, mereka tidak akan memberi persetujuan kepada pembelian tanah tersebut.

Bagi tuduhan pilihan kedua (pindaan) Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia dengan memperdayakan Jemaah Menteri untuk mempercayai fakta yang sama berhubung kadar pembelian tanah pajakan yang sama hingga mendorong JemaahMenteri memberi persetujuan kepada pembelian tanah tersebut oleh LPK daripada KDSB.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Bagi kedua-dua tuduhan tersebut, Dr Ling didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.