Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Melayu terpedaya oleh strategi Cina!

Saudara Pengarang,

Orang Melayu biasanya cepat marah apabila terdengar desas-desus bahawa orang Cina akan menerajui pucuk pimpinan di Putrajaya. Itupun jika berita ini adalah benar.  Ini dengan jelasnya menunjukkan bahawa adalah mustahil untuk orang Cina menjadi Perdana Menteri Malaysia dan ini bermakna slogan 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak adalah retorik kosong sahaja.

Justeru itu, strategi Umno untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dan meraih undi ialah untuk menghebohkan berita palsu bahawa DAP adalah lebih kuat daripada PAS dan orang Melayu akan rugi jika mereka undi PAS sebab PAS telah ditenggelamkan oleh DAP.

Sebenarnya ini ialah strategi klasik tentera Cina dari zaman peperangan ’3 Kingdoms’ dulu.  Strategi ini menggunakan taktik melagakan musuh untuk membinasakan musuh.  Oleh itu, Umno cuba melagakan DAP dan PAS supaya DAP ataupun PAS ataupun kedua-duanya akan musnah sama sekali.

Umno tahu bahawa orang Melayu akan marah terhadap PAS dan DAP apabila berita palsu disebarkan bahawa ‘PAS tunduk kepada DAP’.  Ini adalah permainan sentimen perkauman.  Namun demikian, situasi ini juga menunjukkan bahawa sistem demokrasi di Malaysia masih mundur dan tidak matang langsung sebab orang Melayu tidak akan memberi peluang kepada orang Cina untuk menjadi Perdana Menteri walhal rakyat Amerika telahpun memilih Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Strategi Umno memang akan berjaya sebab minda orang Melayu mudah dimanipulasi dan dikawal.  Jika terdengar sahaja ada berita palsu bahawa Timbalan Perdana Menteri mungkin ialah orang Cina dari DAP, orang Melayu dengan cepat telah naik berang dan menjadi seperti kera kena belacan.

Inilah kekuatan Umno.  Kekuatan Umno banyak bergantung kepada kelemahan minda orang Melayu yang senang diputar-belitkan.

Dan ini pula minda orang Melayu telah terpedaya dengan kegunaan strategi klasik tentera Cina.  Ini bererti strategi Cina telah berjaya menumpaskan minda Melayu!

Sampai bila akan orang Melayu terpedaya?

Jeneral Wu

3 comments

1 PUTRAJAYA REFORMASI { 09.26.11 at 12:29 am }

Adakah PR ke Putrajaya Tahun 2012?
———————————————————–

Pernahkah anda menonton filem berjudul 2012? Dimanakah anda menonton filem tersebut? Adakah di rumah mahupun di panggung? Hasilnya tetap sama. Iaitu kepuasan menyaksikan fiksyen yang digambarkan kiamat oleh pihak barat terhadap dunia ini.

Hakikat sebenarnya 2012 bukan kiamat untuk dunia yang kita sayangi dengan menikmati keamanan, kebahagiaan dan tempat kita mencari rezeki. Jelas bahawa gambaran 2012 adalah merupakan kiamat bagi negara barat yang bakal menerima tamparan kejatuhan ekonomi dan sistem pentadbiran sementara di Timur tengah dan Timur jauh (Asia) akan mentadbir ialah sistem kerajaan rakyat.

Kini, golongan kapitalis akan hancur, sementara yang pasti akan bangkit ialah rakyat. Jadi, kita nantikan 2012 akan hadir supaya pihak barat sedar bahawa kuasa rakyat yang sebenarnya membuatkan dunia ini aman dan makmur tanpa kapitalis yang tamak haloba.

Berjayakah misi rakyat ke Putrajaya dengan menaiki bas PR? PASTI dan PASTI asalkan kerajaan PR berjiwa rakyat dan menolak golongan kapitalis yang berkepentingan diri serta menyumbat rakyat ke lubang kesengsaraan. Sudah 54 tahun kita merdeka, namun kehadiran DEB dan bermacam-macam lagi agenda semakin hari semakin membendung kemahuan rakyat untuk merdeka di dalam ekonomi kehidupan. Hanya golongan bangsawan dan kapitalis sahaja telah mengaut keuntungan sekiranya diamati jawatan PM ini seakan-akan diwarisi oleh golongan bangsawan. Syukur Alhamdulillah keturunan Allahyarham Tuanku Abdul Rahman tidak menuntut hak tetapi hak itu diperturunkan kepada Najib anak kepada Tun Abdul Razak pemerintah paling singkat satu ketika dahulu.

Siapakah selepas beliau, pastinya sedang menanti bukan Muhyidin Yassin tetapi Hishamudin yang kini telah mengintai-ngintai peluang untuk menerima pewarisan PM sebagai waris Tun Husein Onn. Selepas beliau kita boleh berikan senarai pendek ialah Mukhriz Mahathir yang bakal meneruskan wawasan 2020 yang diimpikan oleh ayahanda beliau. Siapa pula mewarisi Pak Lah, kemungkinan besar menantu beliau atau anak beliau? Pastinya keadaan ini semakin rumit hingga kita lupa bahawa jawatan PM bukan diwarisi tetapi atas pilihan rakyat. Jika kita tidak merubah parti kerajaan sedia ada pasti itulah rentetan perjalanan jawatan PM selepas ini.

2012 bukan juga kiamat di Malaysia, malahan kiamat pada golongan kapitalis iaitu puak-puak bangsawan BN yang dianggotai oleh parti atau kelompok masyarakat seperti UMNO, MIC, MCA dan lain-lain. Sudah 54 tahun mereka memungut hasil negara dengan menjadikan rakyat sebagai sumber kekayaan. Sedar atau tidak rakyat selalunya dimainkan sentimen kuasa Melayu, ketuanan Melayu serta hak orang Melayu sedangkan hakikat sebenarnya inilah puncanya orang Melayu masih ditakuk lama sebelum era kemerdekaan. Jika orang Melayu benar-benar merdeka sila lihat apa di sekeliling anda. Adakah anda memiliki harta yang berjuta atau hanya hutang keliling pinggang disebabkan hutang yang dilimpahkan dipenuhi riba atau bunga? Anda perlu tanya diri anda.

2012, sudah hampir tiba dan kini BN sedang melupuskan bukti kapitalis di Putrajaya. Peperangan kita bukan dengan mengangkat senjata malahan peperangan kita bukan melawan penjajah yang tidak faham bahasa. Kita berperang dengan ekonomi, kawalan ekonomi negara bukan dari kaum Cina, malahan yang jelas oleh kerajaan BN. Harga naik bukan orang Cina naikkan harga, cukai GST bukan kerana orang Cina kenakan cukai, cukai telco 6% juga bukan kerja orang Cina, tetapi itulah kerja golongan kapitalis yang semakin hari melihat peluang mengumpul kekayaan demi memenuhkan kantong mereka.

2012, berakhirlah penderitaan rakyat sehingga berubah angin barat daya ke timur laut. Buangkan hasrat Melayu hilang kuasa kerana itu hanya hantu bonceng yang selama ini sentiasa mencekik leher kita semua. Ketuanan Melayu sudah diambil oleh BN, kekuasaan Melayu telah diselewengkan oleh BN dan hak orang Melayu sudah difaraidkan oleh golongan kapitalis BN. Apa yang orang Melayu tinggal jika tanah sekangkang kera pun sudah diteroka dan diambil alih, jika biasiswa pengajian tinggi ditukar kepada PTPN (Pinjaman sepanjang kerjaya) dan bantuan rakyat termiskin seperti PPRT diserahkan kepada yang mampu. Jika kita terus berdiam maka kita akan terus ditohmah oleh anak cucu kita kerana dayus mempertahankan dan mewariskan kesengsaraan kepada 7 keturunan kita lagi.

2012, kita bersedia untuk menjadikan Malaysia lebih kaya dan makmur. Kita mahukan setiap rakyat menikmati kekayaan negara. Kita mahukan orang yang layak mentadbir dengan bijaksana. Cukuplah kekayaan berbillion kita serahkan kepada kapitalis BN yang semakin hari semakin tidak faham kehendak rakyat.

2012, Pakatan Rakyat mesti bersedia. Berikan hak rakyat, kabulkan permintaan rakyat. Bukan kita mahukan sejuta RM setiap orang tetapi kita mahu menikmati kemudahan yang PERCUMA dan Hak Negeri seperti:
1. Royalti Minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan 5% agar negeri-negeri ini boleh menikmati kemudahan seperti LRT dan jalan raya yang baik. Pembangunan sekata dengan Bandaraya Kuala Lumpur. Saranan kepada PR: Menandatangani perjanjian MoU jika kemenangan PR di Sabah, Sarawak, Terengganu & Kelantan serta menjadikan realiti pentadbiran di Putrajaya serta merta negeri tersebut mendapat royalti minyak tersebut. Edarkan bukti tersebut agar rakyat jelas di atas janji bakal kerajaan baru dan PM serta TPM yang bakal menjaga tampuk pemerintahan PR di Putrajaya.
2. Setiap rakyat menikmati pemansuhan cukai Telco & Cukai GST apabila PR menjadi pentadbir Putrajaya.
3. Memastikan belanjawan yang cukup besar untuk menyediakan kemudahan pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan perkapita RM3,000 sebulan.
4. Memberikan insentif biasiswa kepada rakyat Malaysia yang mendapat keputusan cemerlang dan bukan anak-anak wakil rakyat atau golongan kapitalis.
5. Menyediakan sumber penghasilan sama ada di dalam perindustrian, perkhidmatan dan hasil bumi sebagai hasil pendapatan negara ke negara luar
6. Menjadikan penghasilan makanan HALAL terbesar di dunia seperti bahan mentah makanan, perindustrian pembungkusan makanan HALAL untuk dieksport serta membekalkan makanan secukupnya di dalam menangani krisi ekonomi.
7. Memastikan kerajaan lebih telus seperti kerajaan Selangor di dalam pemerintahan serta menyiasat mana-mana ahli PR yang melakukan penyelewengan.
8. Membuka peluang di dalam ekonomi perdagangan dari luar ke dalam dan dari dalam ke luar negara tanpa sekatan.
9. Mengadakan kerjasama ekonomi dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan Philipina untuk mempertingkatkan import dan eksport.
10.Mengadakan persefahaman mata wang di antara negara Asean agar tidak berlaku perdagangan mata wang sehingga menjadikan ekonomi Asia Tenggara jatuh merudum.

Semoga saranan ini sedikit sebanyak dapat membantu PR meneruskan hasrat RAKYAT ke Putrajaya selepas melihat ketirisan kewangan semakin berleluasa tanpa ada tindakan dari kerajaan BN.

Semoga Allah SWT memberikan kemenangan kepada Rakyat bagi menentang penindasan, kezaliman dan kesengsaraan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Amin…

2 MELAYU TERPEDAYA OLEH STRATEGI CINA! | TukarTiub | Berita Terkini Malaysia | TukarTiub { 09.26.11 at 3:33 pm }

[...] kl-today [...]

3 MELAYU TERPEDAYA OLEH STRATEGI CINA! | TukarTiub | Berita Terkini Malaysia | TukarTiub { 09.26.11 at 3:33 pm }

[...] kl-today [...]