Curi lembu bawa dalam Proton Wira?

Posted by admin on February 28th, 2012

Nasib nyata tidak menyebelahi dua lelaki apabila tindakan mereka mencuri dua lembu dengan menyumbatnya dalam Proton Wira Aeroback tidak berjaya apabila kenderaan terbabit terbabas dalam longkang di Kawasan Industri Kelang Lama di sini, kelmarin.Kejadian yang berlaku pada 3.30 pagi itu menyebabkan dua lelaki berusia 20-an itu berputih mata apabila terpaksa melarikan diri meninggalkan kereta mereka bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.Gambar sekadar hiasan berdasarkan satu kes pada tahun 2008.

Menurut sumber, polis menerima maklumat daripada orang ramai mengenai sebuah kereta terbabas dalam longkang di hadapan sebuah kilang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kereta terbabit dipercayai dipandu laju, hilang kawalan akibat jalan licin dan tersekat dalam longkang.

‘Kedua-dua mereka melarikan diri meninggalkan dua lembu itu dalam keadaan lali.

‘Pemeriksaan lanjut mendapati tempat duduk belakang diubah suai. Kerusinya dibuang memudahkan mereka menyumbat lembu terbabit.

‘Dua ekor lembu termasuk seekor anak yang ditemui dalam kereta itu lemah kesan ubat pelali,’ kata sumber itu.

Menurutnya lagi, polis turut menemui dua batang sumpit dan ubat pelali yang dipercayai digunakan suspek bagi menangkap lembu tersebut.

‘Polis belum mengesan pemilik dan tempat haiwan berkenaan dicuri. Kami kini sedang menjejaki kedua-dua suspek yang menghilangkan diri bagi membantu siasatan,’ kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ghuzlan Saleh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

- Harian Metro.