Syria gembira Umno sokong regim Assad

Posted by admin on February 23rd, 2012

Syria mengangumi pendirian UMNO sebagai sebuah parti politik yang mantap dalam menyatakan pendirian menolak sebarang campurtangan luar dan tidak menerima hakikat berkaitan unsur-unsur luar dalam usaha memporak-perandakan sesebuah negara.Dutanya, Dr. Mohamad Khafif menyatakan demikian dalam kunjungan hormatnya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn semalam (gambar).

Jelasnya, pergolakan yang berlaku di negara-negara Arab sejak kebelakangan ini turut berlaku di Syria yang telah mengakibatkan korban nyawa tetapi beliau percaya bahawa ia akan dapat ditangani sebelum krisis lebih teruk berlaku.

Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan menerangkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap berpegang teguh dan yakin bahawa setiap permasalahan dalam sesebuah negara hanya akan dapat diselesaikan oleh masyarakat di dalamnya sendiri tanpa ada penglibatan dari pihak luar.

“Pendirian kita adalah jelas berhubung isu-isu antarabangsa dan begitu juga dengan apa yang berlaku di Syiria yang mana kita percaya bahawa rakyat Syiria sendiri bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan dan kestabilan dalam negara tersebut,” katanya.

Dalam hal ini beliau turut memberi analogi Malaysia yang pernah mengalami demonstrasi jalanan ekoran ketidakpuasan hati pihak tertentu apabila tewas dalam pemilihan atau dalam sesuatu kes termasuklah perbicaraan di mahkamah.

“Ini adalah kerja-kerja pembangkang yang mahukan kuasa sehinggakan sanggup dipergunakan oleh pihak luar bagi membuat kekacauan. Mereka ini apabila tidak dapat kuasa melalui pilihan raya maka mereka akan mengadakan demonstrasi atas nama reformasi dan sebagainya asal saja boleh menjatuhkan kerajaan yang ada,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai sebuah parti politik yang berkerajaan dan mempunyai pengalaman, penyelesaian krisis perlulah dilakukan dengan matang dan berhati-hati agar tidak memudaratkan dan mengundang pertelingkahan kepada rakyat dan negara.

– MediaUMNO