Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

‘Batman’ rogol pelajar asrama di Melaka

Desas-desus semakin berleluasa di kalangan penduduk setempat di Melaka bahawa suatu lembaga berkuasa ghaib sedang menyasari wanita di bandar ini.Ia menyusuli satu kejadian yang dikatakan melihatkan satu lembaga hitam berpakaian ala Batman menceroboh masuk ke dalam asrama pelajar perempuan dan merogol seorang pelajar kolej berusia 19 tahun, lapor akhbar The Sunday Star, semalam.Mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur itu dirogol pada malam Rabu lalu ketika bersendirian dalam biliknya.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Gan Tian Loo, menganggap dakwaan daripada sesetengah pihak bahawa lembaga tersebut berkuasa ghaib sebagai karut.

Sebaliknya beliau menggesa agar diadakan satu siasatan rapi terhadap jenayah itu.

‘Bagaimana Batman atau hantu boleh masuk dalam asrama pelajar perempuan dan merogol? Ini perbuatan seorang manusia yang memakai pakaian superhero khayalan itu untuk mengelak daripada dikesan,’ katanya.

Datuk Gan berkata satu usaha memburu penjenayah itu harus diadakan bagi menangkap pelakunya kerana dia mungkin mencari mangsa seterusnya di kalangan pelajar lain.

Dalam laporan polis yang dibuatnya Khamis lalu, mangsa berkenaan berkata beliau sedang melungsuri Internet sekitar 8.15 malam di bilik asramanya apabila satu lembaga misteri yang memakai pakaian Batman tiba-tiba muncul di sebelahnya.

Menurut pelajar itu, belum sempat beliau meneriak, lembaga tersebut mengikat mulutnya dengan sapu tangan hingga beliau tidak sedarkan diri.

Beberapa jam kemudian, mangsa sedar dan mendapati dirinya dalam keadaan bogel di atas lantai, selain berasa pedih di bahagian alat kelaminnya.

Satu pemeriksaan perubatan pada hari berikutnya mendedahkan bahawa beliau telah dirogol.