Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Najib kena fahami maksud tersirat Daim

Shahbudin Husin

Sejak akhir-akhir ini, bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dilihat begitu galak mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai UMNO dan kepimpinan Najib. Satu demi satu kenyataannya yang pedas, tajam dan sensasi dihidangkan untuk tatapan umum setelah agak lama menjadi “Daim yang diam” serta menyepikan diri dari khalayak ramai.Daim yang pernah menjadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali di zaman Mahathir dan dianggap “arkitek ekonomi” yang banyak membantu Mahathir menangani pelbagai kemelut serta masalah ekonomi negara sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

Sebelum piliharaya 2008 beliau telah meramalkan BN akan tumbang di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Setelah ramalannya itu menjadi kenyataan, cakap beliau yang selama ini hanya diakui dari segi ekonomi sahaja turut melebar kepada dunia politik pula.

Daim mula dianggap sebagai tokoh yang ada merit untuk bercakap soal politik. Teori dan ramalannya mengenai politik sering ditunggu dan dijadikan pedoman.

Baru-baru ini dalam wawancara dengan sebuah akhbar Cina, Daim mengatakan Najib akan digulingkan oleh UMNO sendiri sekiranya gagal mencapai keputusan majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen.

Beliau juga menegur Najib yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekaligus. Daim meyifatkan amalan itu sesuatu yang tidak baik kerana jika Menteri Kewangan melakukan kesilapan, tidak ada sesiapa yang lebih tinggi kedudukannya yang boleh menegurnya. Katanya lagi, Mahathir dulu memegang dua jawatan itu serentak kerana ketika itu berlakunya krisis ekonomi.

Terbaru ini dalam wawancara dengan akhbar Cina juga, Daim bersuara lagi dengan menyatakan bahawa UMNO dan BN hanya selesa untuk menang di tiga negeri sahaja iaitu Johor, Melaka dan Pahang.

Dalam nada yang lebih kritikal, Daim juga menyifatkan kepimpinan Najib sekarang dan dalam persiapan menghadapi pilihanraya umum ibarat “jeneral tanpa askar”.

Jika dilihat kepada kemelut dan pelbagai isu yang melanda kepimpinan Najib sejak beliau mengambil alih kepimpinan UMNO dan kerajaan, kenyataan Daim ini merupakan tamparan terbaru buat Najib dan mengesahkan penolakan rakyat yang semakin nyata terhadap UMNO dan BN. Arus penolakan rakyat yang berpunca daripada kelemahan Najib kini diakui oleh Daim sendiri yang pernah menjadi pemimpin kanan UMNO.

Daripada isu peribadi, keluarga, anak-anak, kepimpinan yang lemah, urus tadbir kerajaan yang longgar sehingga wujudnya pelbagai skandal yang gagal ditangani dengan baik dan pelbagai isu lainnya, semunya itu dilihat oleh banyak pihak sudah terlalu hampir menjerumuskan Najib ke gaung kekalahan.

Kenyataan dan kritikan Daim sejak akhir-akhir ini hanya mengesahkan lagi bahawa Najib memang seorang pemimpin yang gagal dan akan digulingkan selepas pilihanraya ini. Daim seperti ingin memberi peringatan kepada Najib bahawa selain mungkin ditumbangkan oleh rakyat melalui pilihanraya, beliau juga akan disingkirkan melalui pemilihan UMNO yang dijangka akan diadakan selepas itu.

Dengan menekankan bahawa hanya tiga negeri yang selamat bagi UMNO dan BN, Daim sebenarnya ingin memberi amaran kepada Najib bahawa usahkan hendak mencapai kemenangan dua pertiga dan merampas negeri-negeri yang sedang dikuasai Pakatan Rakyat sebagaimana yang sering diucapkan oleh Najib, hakikat sebenarnya untuk mencapai kemenangan tipis pun masih sukar lagi.

Dengan kata lain, jika difahami maksud tersirat kenyataan Daim itu ia juga bermakna bahawa Najib bukanlah sosok yang sesuai untuk memimpin UMNO dan kerajaan dan ia sewajarnya digantikan oleh tokoh lain. Jika tak mahu diundurkan oleh rakyat melalui pilihanraya atau atau digulingkan oleh perwakilan UMNO dalam pemilihan selepas itu, eloklah berundur dengan baik.

Cumanya Daim belum mahu berterus-terang dan bercakap secara terbuka tetapi itulah maksud tersirat yang mudah difahami daripada kekerapan Daim bersuara sejak kebelakangan ini. Dan daripada kekerapan Daim bersuara itu jelas bermaksud bahawa beliau mahukan Najib segera memahami apa yang cuba disampaikannya.

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

* KL-Today.com tidak akan bertanggungjawab di atas liabiliti penyiaran bahan yang disumbangkan oleh penulis untuk disiarkan dalam laman web kami