Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Amerika Syarikat sedia serang Syria

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk menyediakan pilihan ketenteraan bagi menamatkan keganasaan di Syria.Seorang pegawai kanan tentera AS, Jeneral Martin Dempsey memberitahu, pilihan itu akan dilakukan jika tekanan diplomatik gagal menamatkan pertempuran di negara tersebut.”Justeru, saya akan menyediakan pilihan ketenteraan jika diminta untuk berbuat demikian,” katanya kepada program terbitan stesen televisyen CBS, This Morning semalam.

Beliau membuat komen itu selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara mengutuk penggunaan kereta kebal dan meriam dalam satu serangan tentera Syria di bandar Houla.

Dalam serangan itu, seramai 108 orang dilaporkan terbunuh.

Ia merupakan serangan terbaharu yang melibatkan kematian yang ramai.

Angka kematian akibat kebangkitan penduduk Syria menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad sejak tahun lalu dilaporkan mencecah lebih 12,000 orang.

Menurut pegawai tentera itu, beliau menjangkakan tekanan masyarakat antarabangsa yang menentang keganasan di Syria akan meningkat.

“Saya tidak pasti sama ada dalam kes di Syria, satu kombinasi tekanan diplomatik dan ekonomi akan memperoleh kejayaan.

“Namun, sudah pasti saya menggalakkan para pemimpin kami, pemimpin-pemimpin antarabangsa untuk bersama dalam satu cara yang boleh menyebabkan Bashar membuat keputusan yang betul,” katanya.

Sementara itu, Utusan Khas PBB dan Liga Arab, Kofi Annan menyatakan, beliau terkejut dengan kejadian pembunuhan besar-besaran di bandar Houla.

Beliau menyatakan demikian semasa tiba di Damsyik untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pegawai semalam.

Annan berkata, pihak yang melakukan pembunuhan di bandar tersebut pada Jumaat dan Sabtu lalu perlu bertanggungjawab berhubung kejadian tersebut.

Beliau juga menyatakan setiap orang yang memegang senjata di Syria perlu mendengar mesejnya tentang keamanan bagi membolehkan pertumpahan darah dapat dihentikan.

“Saya berhasrat untuk mengadakan perbincangan yang serius dengan Bashar. Saya juga mahu berbincang dengan sejumlah orang semasa saya berada di sini,” kata Annan.

Kelmarin, Syria menafikan dakwaan bahawa berlaku pembunuhan besar-besaran di bandar tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdissi menyatakan, pasukan tenteranya berada di sebuah pangkalan tentera pada Jumaat lalu semasa diserang oleh ratusan lelaki bersenjata.

Menurutnya, lelaki-lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan mortar dan mesingan dalam pertempuran selama sembilan jam.

Dalam pertempuran itu, seramai tiga askar maut dan 16 lagi cedera. – Agensi