Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

PAS jelas punca tewas di Kedah

Pengarah Pilihan raya PAS Kedah, Datuk Mohd Yusof berkata beliau “tidak nampak” punca kekalahan Pakatan Rakyat di negeri disebabkan wujudnya pergeseran antara Azizan-Phahrolrazi.Sebaliknya, kata beliau, kedua-dua pemimpin PAS itu mendapat majoriti yang tinggi dalam pilihan raya umum kali ini.BN berjaya memenangi 21 kerusi untuk merampas Kedah daripada Pakatan Rakyat yang mendapat 15 kerusi.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, Mohd Yusof berkata antara analisis awal berhubung punca kekalahan Pakatan Rakyat di tujuh kerusi  antaranya di DUN Tanjung Dawai, adalah mengenai pertambahan undi tentera sebanyak 6,000 di Tanjung Dawai.

Dakwanya, dahulunya undi tentera itu menjadi undi pos di Belantik dan kini kembali semula di Tanjung Dawai.

Manakala di DUN Ayer Hitam, faktor gerak kerja Datuk Mukhriz Mahathir yang “all out” untuk memberi cabaran sehingga menang dengan majoriti lebih 3,700 di DUN itu.

Selain itu, kekalahan PAS di DUN Kupang, Jeneri  dan Bandar Baru antaranya disebabkan “masalah dalaman” termasuk tiada kata sepakat di kalangan pemimpin peringkat kawasan menyebabkan PAS tidak mendapat sokongan padu daripada akar umbi.

Kawasan lain yang gagal dipertahankan PAS ialah Bukit Lada dan Pantai Merdeka.

Selain itu, di kawasan tersebut juga kekurangan pengundi cina yang boleh membantu PAS dan Pakatan Rakyat mempertahankan kerusi tersebut.

Mereka akan membuat post mortem untuk menentukan punca sebenar kekalahan parti itu.

“Kita menerima keputusan rakyat dengan hati terluka. Ini satu kekalahan yang menjadi panduan dan pedoman kita pada masa akan datang.

“Kita akan meneruskan perjuangan. Kekalahan sebenar dalam pilihan raya, tetapi kekalahan sebenar adalah lari dari perjuangan untuk menegakkan Islam bagi PAS dan tegakkan keadilan bagi parti lain (dalam Pakatan),” katanya.

“Kita terimanya dengan penuh rasa syukur kepada Allah,” katanya lagi.

Menteri besar Datuk Seri Azizan tidak hadir sewaktu pengumuman tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah berkata pentadbiran Pakatan rakyat yang berlakunya “macam-macam hal” selama lima tahun rakyat menyebabkan rakyat menolak kepimpinan mereka dalam pilihan raya ke-13 umum semalam.

Susulan itu, katanya, rakyat juga telah hilang keyakinan kepada PAS dan Pakatan Rakyat, sekaligus membuat keputusan untuk memilih BN.

Datuk Mukhriz Mahathir akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru pada pukul 3.30 petang Isnin.