Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Implikasi keputusan PRK Kuala Besut

Pilihan raya kecil memang akan menjadi tumpuan, kerana fokus parti khusus kepada suatu tempat, tetapi perhatian terhadap pilihan raya kecil untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut 24 Julai ini jauh berbeza. Bukan hanya kerana ia yang pertama dalam tempoh dua setengah bulan selepas pilihan raya umum diadakan pada 5 Mei, tetapi jika keputusannya tidak berpihak kepada penyandang Barisan Nasional (BN), akan menyaksikan jumlah kerusi yang sama dengan pembangkang dalam DUN.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN. BN memegang 17 kerusi dan 15 disandang pakatan pembangkang (PAS 14, PKR satu).

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar pada 26 Jun lepas.

Jika pembangkang memenangi pilihan raya kecil ini, jumlah kerusi akan menjadi 16-16, yang bakal memberi implikasi besar terhadap corak pentadbiran kerajaan negeri.

Penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali berkata rakyat khususnya pengundi Kuala Besut mesti memahami senario ini dan kesannya kepada mereka.

Katanya persamaan jumlah kerusi bukan sahaja akan melakar sejarah dalam politik negara, tetapi boleh mendatangkan ketidaktentuan bukan sahaja kepada pentadbiran kerajaan negeri, tetapi turut memberi kesan kepada rakyat Terengganu keseluruhannya.
Apakah implikasi ‘pilihan raya kecil yang besar’ ini?

Dalam konteks ini, beliau berkata kesannya tidak hanya tertumpu kepada pengundi di DUN Kuala Besut sahaja, bahkan di seluruh negeri, senario sebegini akan mewujudkan kerajaan negeri yang tidak stabil, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi, sosial, politik dan pembangunan negeri.

“Selain itu, apabila kerajaan tidak stabil, maka dasar baharu untuk kebaikan rakyat tidak dapat dilaksanakan malah peruntukan misalnya untuk pendidikan, pembangunan dan lain-lain juga mungkin tersekat kerana tidak mendapat sokongan majoriti anggota DUN,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menyedari senario yang boleh berlaku, BN perlu bekerja keras untuk mempertahan kerusi itu dan mengekalkan ’status quo’. Bagi PAS, yang akan bertanding merebut kerusi itu, pastinya akan berusaha memberi tentangan hebat.

Bagi menggalas cabaran itu, BN mempertaruh calon muda anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, seorang jurutera awam, manakala PAS menampilkan seorang kontraktor, Endut@Azlan Yusof, 48.

Melihat pertembungan ini, apakah peluang yang ada bagi kedua-dua parti?
Mengupas persoalan itu, pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu itu berkata faktor calon memainkan peranan penting.

Beliau yakin peluang untuk BN kembali menguasai DUN Kuala Besut cerah bersandarkan kepada tiga faktor iaitu faktor Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Ketua Umno Bahagian Besut, faktor penyandang Dr A. Rahman dan faktor calon yang diketengahkan BN.

“Idris sebelum ini pernah menjadi menteri besar dan beliau banyak berjasa di Terengganu, tak terkecuali di Kuala Besut. Pembangunan pesat di Terengganu banyak dicetuskan oleh Idris dan saya melihat dan merasai sendiri pengaruhnya masih kuat di Besut,” katanya.

Kuala Besut ialah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Besut, yang diwakili Idris, sebagai anggota Parlimen Besut. Tiga DUN lagi ialah Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut.

“Sumbangan Allahyarham Dr Rahman dalam soal pelancongan dan pembangunan tidak boleh dinafikan kerana hasil usahanya, kawasan itu kini menjadi salah satu kawasan pelancongan yang menarik di Terengganu,” kata Che Hamdan.

Kuala Besut sebelum ini hanyalah sebuah perkampungan nelayan kecil terletak di bahagian Utara Terengganu dan sekarang menjadi sebuah bandar yang penting kepada pelancong untuk pergi ke Pulau Perhentian.

Melihat faktor calon, kedua-dua BN dan PAS menampilkan calon anak tempatan Kuala Besut dan muka baharu bagi meraih sokongan pengundi.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,679 pengundi. Mengikut pecahan umur, sebanyak 27.94 peratus berumur 21 hingga 29 tahun, 27.36 peratus (30 hingga 39 tahun), 19.34 peratus (40 hingga 49 tahun), 12.86 peratus (50 hingga 59 tahun) dan 12.49 peratus berumur 60 tahun ke atas.

Sebanyak 93.33 peratus adalah pengundi biasa, 6.67 melibatkan pengundi tentera, polis dan pasangan masing-masing dan seorang pengundi luar negara manakala mengikut pecahan kaum pula, 98.71 peratus Melayu, Cina (0.80 peratus), India (0.08 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.41 peratus.

Pada PRU13, Dr Rahman menang dengan majoriti 2,434 undi mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dan jumlah peratusan keluar mengundi 87 peratus (15,381 pengundi).

SPR menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi untuk pilihan raya kecil DUN Kuala Besut dan Jumaat ini sebagai tarikh penamaan calon.