Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Bina pusat perlindungan sementara gelandangan

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah merancang untuk mewujudkan rumah transit atau rumah perlindungan bagi menempatkan sementara golongan gelandangan bagi membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaakob berkata, di negeri ini, golongan gelandangan dikesan di sekitar bandar besar seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi.

Katanya, rumah transit hanya menempatkan golongan gelandangan itu bagi tempoh dua minggu hingga tiga bulan, sebelum mereka boleh dibantu untuk mendapatkan tempat tinggal tetap selain pekerjaan bersesuaian.

“Kita kena akui isu gelandangan ini ada di Kedah dan perlu ada cara untuk atasinya. Antaranya rumah transit atau rumah perlindungan. Tak boleh kata orang gelandangan dikaitkan dengan orang miskin. Mungkin dia ada duit, secara mengejut dan tiba-tiba dia hilang segala-galanya dan mereka tak tau hendak ke mana.

“Ada juga kes melibatkan isteri-isteri dihalau keluar dari rumah… suami mati, suami halau. Sekelip mata hilang segalanya, dia nak pergi mana. Gelandangan bukan hanya tertakluk miskin tetapi juga keadaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya pihaknya telah mengenal pasti premis yang sesuai untuk diubah suai dan diwartakan sebagai rumah transit di Langkawi dan Alor Setar dan sedang mencari premis yang sesuai di Sungai Petani.

“Di rumah-rumah transit atau rumah perlindungan kena ada arahan mahkamah supaya takde siapa boleh masuk dan dijaga. Kedah belum ada lagi rumah transit seperti ini,” katanya.

Suraya berkata beliau melihat terdapat beberapa isu perlu diatasi untuk membantu golongan gelandangan ini seperti remaja terbiar, tanggungan yang diabaikan, susah mengejut, masalah rumah tangga dan arahan mahkamah.

Sementara itu, Suraya meminta individu yang mahu membantu golongan yang memerlukan supaya bekerjasama dengan wakil rakyat atau pemimpin tempatan supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan sasaran.

“Dengan ini bantuan boleh diselaras dengan lebih baik. Saya bimbang dengan kecenderungan hanya sesetengah kumpulan sasar menerima bantuan. Korporat dan individu yang ingin membantu boleh berhubung dengan pemimpin tempatan supaya dapat dilaksanakan program dengan impak lebih besar,” katanya.