Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Malaysia tambah aset cari MH370

KUALA LUMPUR – Malaysia menghantar lebih banyak aset ke Selatan Lautan Hindi untuk mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 di lokasi baharu lautan itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang mampu membuat pencarian dengan menggunakan peralatan ‘multi beam echo sounder’, akan menyertai pasukan mencari dengan memberi bantuan dalam proses batimetrik.

“Kapal ini akan memulakan pelayarannya pada 4 Ogos,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Foto MH370 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahaya.

Mengenai aset komersial, Hishammuddin berkata Petronas serta DEFTECH and Phoenix International akan segera menghantar sebuah kemudahan dikenali sebagai Prosas Side Scan Sonar (Towed Synthetic Aperture Sonar) untuk dipasang pada kapal induk, yang akan dikenal pasti kelak.