Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Filipina, MILF setuju selesai pelbagai isu

KUALA LUMPUR – Panel rundingan Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bersetuju menyelesaikan pelbagai isu yang berkaitan dengan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro.

Mereka bersetuju supaya resolusi yang dicapai kedua-dua pihak, dimasukkan dalam deraf akhir Undang-undang Asas Bangsamoro yang akan dikemukakan kepada Presiden Filipina Benigno S.Aquino III.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata keputusan itu dibuat selepas beberapa pertemuan antara Panel Keamanan MILF dan pasukan perundangan Pejabat Presiden Filipina iaitu Pejabat Penasihat Presiden untuk Proses Keamanan, Pejabat Setiausaha Eksekutif dan Pejabat Ketua Peguam Presiden.

“Kami telah selesai membincangkan pelbagai isu yang membabitkan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro, yang pada mulanya dirangka oleh Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro (BTC) dan dikemukakan kepada Presiden pada April lepas,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Kenyataan itu, yang dihantar kepada Bernama hari ini, telah ditandatangani oleh Setiausaha Eksekutif Filipina Paquito N.Ochoa Jr dan Pengerusi Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro Mohagher Iqbal.