Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Krisis Selangor: Sudah tibanya masa sesuai untuk PRU14?

Nur Jazlan Mohamed

Akhirnya kerajaan Pakatan Rakyat milik Pas, DAP dan PKR di Selangor tumbang, dan kini menerajui kerajaan Selangor adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas yang pertama kali mencipta sejarah di Malaysia menjadi Menteri Besar serta empat Exco daripada Pas.Jadi, jika Selangor berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mencari Menteri Besar (MB) yang baharu (suatu kemungkinan besar) pada akhir tahun ini, ia adalah peluang terbaik bagi BN dan Umno merampas semula negeri paling kaya di Malaysia ini.
Saya dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada sebarang klausa khusus dalam Perlembagaan Negara berkaitan undang-undang pilihan raya Malaysia untuk menidakkan PRU diadakan hanya selepas lebih setahun PRU sebelum ini diadakan.

Jika Perdana Menteri sudah menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, maka berlakulah PRU tanpa perlu menunggu sebarang tempoh ‘edah’.

Namun saya difahamkan, Umno Selangor masih tidak bersedia untuk menghadapi PRU atau PRN dan atas sebab itu, mereka terpaksa menurut arahan Putrajaya untuk memberikan sokongan kepada Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar.

Tetapi, jika Najib terus mahu menimbangkan untuk mengadakan PRU14 dalam tempoh dua setengah tahun selepas PRU13, maka 2016 adalah tarikh paling sesuai kerana ini adalah peluang keemasan untuk Umno dan BN mendapat majoriti dua per tiga ketika persepsi pakatan pembangkang berada dalam keadaan paling lemah.

Namun, persoalannya adakah krisis dalam pakatan pembangkang ini, akan membolehkan BN dan Umno merampas Selangor dan mendapat semula majoriti dua per tiga selepas kehilangannya pada 2008 dan 2013?

Buat ahli politik Malaysia soal menghabiskan wang rakyat bukan perkara paling utama dan ia sudah dibuktikan PR dengan mengadakan PRK Kajang Mac lalu dan berdasarkan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, PRN Selangor akan menelan belanja kira-kira RM50 juta.

Jadi, lebih baik diadakan PRU14 terus, ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’ kerana buat rakyat sama ada mereka menyokong BN atau PR, ia tidak banyak beza kerana amanah dan tanggungjawab membela rakyat menjadi perkara kedua, paling utama mendapatkan kuasa memerintah.

Dalam pakatan pembangkang sendiri, sudah ada petunjuk dan petanda mereka akan berpecah dengan Pas sedang cuba membuktikan mereka adalah parti paling dominan dalam pakatan pembangkang.
Berbekalkan 15 kerusi Dun Selangor, Pas percaya ini, adalah masa terbaik membuktikan kepada rakyat Selangor yang memberi undi kepada PR dalam PRU 2008 dan 2013, mereka mampu untuk memerintah kawasan bandar.

Keangkuhan Pas dalam krisis MB Selangor ini, amat jelas sekali sehingga Nasruddin Hassan, Ahli Parlimen Temerloh dan bekas Ketua Pemuda Pas disaman pula Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pertelingkahan dan percakaran antara DAP dan Pas ini, seakan mengulangi semula episod sejarah Barisan Alternatif yang berpecah akibat kedegilan serta sikap parti yang kononnya memperjuangkan Islam ini.

Sikap inilah, sebenarnya tidak akan memungkinkan kerjasama antara Umno dan Pas walaupun ia amat diidamkan kaum Melayu yang terus mahu memperjuangkan konsep retorik ‘ketuanan Melayu’.

PKR pula di suatu sudut yang lain, hanya bermain politik dan jalan tengah, bagi menarik sokongan orang Melayu dan bukan Melayu bahawa segala-galanya yang dilakukan BN selama ini, penuh kronisme, nepotisme dan rasuah.

Sedangkan pada hakikatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya, jelas mengamalkan nepotisme dalam parti itu, sesuatu yang mengingkari janji beliau sendiri ketika mengumumkan Deklarasi Permatang Pauh bagi menghapuskan sepenuhnya nepotisme di negara ini.

Bayangkan tiga beranak ini, termasuk anak sulung Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Wan Azizah, Nurul Izzah menguasai tujuh jawatan penting dalam PKR, sama ada jawatan dalam parti serta sebagai Adun dan Ahli Parlimen.

DAP pula semakin pening kepala dengan kerenah Pas ini, kerana setiap pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan dan nada yang amat berbeza sama ada di peringkat Dewan Ulama, Dewan Pemuda atau di kalangan Jawatankuasa Pas Pusat.

Langkah untuk mengumumkan MB Selangor yang baharu perlu dilakukan segera. Sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Tan Sri Khalid akan mengekalkan beliau sebagai MB Selangor jika menang dalam PRN Selangor, mungkin suatu strategi politik tepat bagi meraih sokongan rakyat Selangor yang bersimpati kepadanya.
________________
Penulis adalah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ahli Parlimen Pulai dan Ketua Umno Bahagian Pulai, Johor Bahru Johor sejak 2004.