Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Azmin enggan dedah exco bayangan

PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor yang baharu Mohamed Azmin Ali hari ini enggan mendedahkan barisan Exco kerajaan negeri bayangannya sehingga Jumaat. Beliau berkata, ini kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mendapatkan persetujuan daripada parti sekutunya iaitu DAP dan Pas.

“Adalah tidak adil untuk saya dedahkan butiran perbincangan, kerana ini melibatkan semua ketiga-tiga parti, bukan PKR sahaja,” kata ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan barisan Exco kerajaan negeri Selangor, Jumaat ini.

Menurut beliau, mesyuarat mengenai calon barisan Exco yang pertama sudah diadakan semalam dan kini di peringkat kedua dengan keputusan akhirnya akan dicapai esok.

Ditanya respons DAP dan Pas, Mohamed Azmin berkata biarpun pemimpin tertinggi Pas sedang sibuk bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan, namun beliau sentiasa berkomunikasi tentang senarai Exco.

Pilihan raya kecil itu akan berlangsung esok  berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar daripada Barisan Nasional (BN) pada 20 Ogos
epas.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.