Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Mahkamah Rayuan putuskan Teoh Beng Hock tidak bunuh diri

Mahkamah Rayuan pada Jumaat memutuskan Mahkamah Koroner tersilap ketika mencapai keputusan terbuka berhubung kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock, lima tahun lalu.Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof yang bersidang bersama Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan ahli keluarga Beng Hock secara sebulat suara.

Hakim Weng Kwai ketika membacakan penghakimannya antara lain menyatakan, kematian mendiang bukan disebabkan bunuh diri dan dia menemui ajal ketika berada di bawah jagaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menyatakan, mahkamah dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner dan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengekalkannya.

Hakim Mohamad Ariff mengetuai panel hakim tersebut.

Hakim Mah memutuskan bahawa majistret (yang bersidang sebagai koroner) dan Mahkamah Tinggi di Shah Alam, telah menggunapakai ujian yang salah yang memerlukan keluarga Teoh membuktikan dakwaan mereka (mengenai punca kematiannya) melampaui keraguan yang munasabah.Ujian yang betul untuk digunapakai dalam siasatan kematian atau inkues adalah imbangan ujian kebarangkalian.

Hakim Mah memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan apabila dia ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau memutuskan Teoh tidak sengaja jatuh dengan sendirinya dan dengan itu menolak bunuh diri sebagai punca kematian Teoh.