Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Wajarkah PAS terus diberi 4 kerusi Exco?

Shahbudin Husin

Setelah berakhirnya isu perlantikan Menteri Besar Selangor dengan Azmin Ali akhirnya mengangkat sumpah jawatannya semalam, perkara yang ditunggu-tunggu selepas ini tentunya ialah berkenaan perlantikan Exco Kerajaan Negeri pula.Azmin sendiri, sebaik dilantik memberitahu, majlis mengangkat sumpah jawatan Exco akan diadakan pada Jumaat ini kerana Sultan Selangor sendiri mahu ia disegerakan bagi memastikan pentadbiran dan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan lagi.

Dalam perkembangan terbaru pula, Azmin berkata, senarai Exco akan diputuskan petang ini serta akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor pada hari Khamis untuk persetujuan.

Bukan saja siapa yang bakal dilantik sebagai Exco menjadi tanda-tanda, turut menjadi persoalan ialah apakah kouta 4-3-3 sejak 2013 lalu akan terus dikekalkan oleh Azmin?

Selepas pilihanraya lalu, Pas yang memenangi 15 kerusi diberikan empat kerusi Exco, DAP yang juga menang 15 kerusi diberikan tiga kerusi Exco dengan tambahan kerusi Speaker manakala PKR yang mempunyai 14 kerusi juga mempunyai tiga kerusi Exco.

Sebaik Khalid dipecat daripada PKR kerana enggan mematuhi arahan partinya yang mahunya berundur, beliau kemudian telah memecat enam Exco daripada PKR dan DAP kerana enggan bekerjasama dengannya. Empat Exco daripada Pas terus dikekalkan berikutan arahan parti itu yang mahu mereke terus bersama Khalid.

Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pula memperuntukkan pentadbiran kerajaan negeri dan kewujudan seorang Menteri Besar boleh terus dikekalkan jika mempunyai sekurang-kurangnya empat orang Exco.

Walaupun tindakan empat Exco Pas itu dianggap pengkhianat terhadap solidariti dan semangat bekerjasama dalam PR, Pas tetap mempertahankan tindakan terus kekal itu ialah untuk menyelamatkan kerajaan negeri daripada runtuh. Kononnya kerana adanya merekalah kerajaan PR terus wujud.

Semalam Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sekali lagi melahirkan rasa kesal dengan sikap empat Exco Pas itu, namun seperti biasa, Pas tetap mempertahankannya. Bagi Pas, empat Exco itu adalah penyelamat dan bukannya pengkhianat.

Sekali imbas, memanglah ada logiknya mereka itu penyelamat tetapi jika sejak awal lagi empat Exco itu bersama-sama dan sehati sejiwa dengan semangat solidariti dan berpasukan dengan Exco daripada PKR dan DAP,mtentunya Khalid sendiri tidak berani memecat enam Exco itu.

Hanya kerana mengetahui empat Exco Pas ada bersama-samanyalah, maka enam Exco dipecat. Kiranya semua empat Exco Pas bersatu hati dengan enam Exco yang lain sejak awal lagi, pastilah juga tiada insiden pecat-memecat, bahkah mungkin sudah lama Khalid “belayar malam.”

Oleh itu, empat Exco Pas berkenaan bukanlah penyelamat dalam ertikata sebenarnya. Apatah lagi, ketika kemelut sedang berlangsung, wujud pula pelbagai usaha mengenai pembentukan kerajaan campuran dengan UMNO + Pas + Khalid Ibrahim. Ketika itu bukan saja Azmin dikatakan ditawarkan oleh Haji Hadi untuk menyertai kerajaan campuran ini dengan ditawarkan jawatan Menteri Besar, malah dalam mesyuarat AJK Pas sendiri berlaku pertikaman lidah yang hangat antara beberapa pemimpin profesional Pas dengan Haji Had mengenainya.

Yang benar-benar menyelamatkan kerajaan PR ialah dua Adun Pas yang bertindak berani serta mempunyai semangat kerjasama yang tinggi atas nama setiakawan dan janji iaitu Shaari Sungib dan Hasnul Baharuddin yang menyokong Dr Wan Azizah Wan Ismail. Hanya setelah tindakan mereka berdua inilah dan terbukti Khalid sudah kehilangan majoriti, barulah beliau mulai kendur dan akhirnya setuju meletakkan jawatan.

Sekali lagi, Shaari dan Hasnul bukan saja membuktikan sokongan majoriti Adun masih berpihak kepada PR tetapi juga memberi laluan kepada cepatnya Khalid sedar siapa dirinya yang sebenar.

Tetapi apakah sumbangan empat Exco Pas yang dikata penyelamat itu? Apakah dalam mendakwa sebagai penyelamat tetapi dalam masa yang sama cuba pula “menyelam” untuk berbaik-baik dengan UMNO, masih boleh dianggap penyelamat?

Dalam keadaan sekarang ini, apakah wajar pula Pas terus diberikan empat kerusi Exco?

Atas semangat kerjasama dan berpasukan dalam PR, PKR dan DAP memang masih ada hak untuk masing-masing terus diberikan tiga kerusi Exco sebagaimana sebelum ini. Semangat bersatu hati dan teguh pendirian mereka dalam berpolitik wajar dipuji. Sama ada calon lama dikekalkan atau diganti baru, terserahlah kepada PKR dan DAP memutuskannya tetapi ia langsung tiada pertikaian daripada sesiapa.
– Minyak Urut Lelaki Paling Berkesan Untuk Saiz, Naikkan Urat Jadi Perkasa Dan Tahan Lama!…
– Mens Delay Spray Berkesan Untuk ANDA Tahan Lama Sehingga 2 Jam Selepas 15 Minit Penggunaannya. Diskaun RM30. Tempoh Terhad! …

Namun, berdasarkan apa yang telah berlaku, mengikut logiknya Pas tidak layak lagi mendapat empat kerusi Exco. Selain jumlah Adun yang bersama dengan parti itu juga sudah berkurangan daripada 15 kepada 13, semangat berpasukannya juga ternyata rendah. Pas mungkin hanya perlu diberikan dua saja kerusi Exco dengan dua tempat lagi sewajarnya diberikan kepada Shaari dan Hasnul atas keberanian dan pengorban yang telah dilakukannya.

Orang yang berani berkorban memang berhak diberikan ganjaran.

Bagaimanapun, jika Azmin masih ada simpati dan timbangrasa, beliau bolehlah juga memperuntukkan tiga saja kerusi Exco kepada Pas dengan satu lagi perlu diberikan sama ada kepada Shaari atau Hasnul.

Tetapi atas apa yang telah berlaku, termasuk empat Exco Pas ini turut meluluskan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, terus memberikan kouta yang lama adalah tidak wajar dan keterlaluan sama-sekali.

Kouta 4-3-3 perlu ditukar kepada 3-3-2-2 atau 3-3-3-1 .

___________
Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com