Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Ada apa dengan anjing?

BOLEH ke pegang anjing? Bukankah anjing tu haram?” “Tergamak pegang anjing. Tak rosak akidah ke?”. Ini mungkin persoalan yang berlegar dalam masyarakat Islam Melayu di negara ini. Anjing dan masyarakat Islam Melayu memang mempunyai stigma yang sangat kuat.

Kadang-kadang perbincangan hal ini banyak mendahulukan emosi berbanding fakta dan dalil ilmiah. Kesannya ia akan menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Anjing adalah haiwan ciptaan ALLAH SWT dan ia bukan binatang hina yang boleh dicaci, dipukul dan dizalimi.

- Alat Besarkan, Kuatkan, Panjangkan Alat Lelaki No #1 Paling Laris Di UK. Kini OFFER 50% Di Malaysia!…
- Vimax Original Kanada Dari Myidaman. 300% Pemulangan Wang Kalau ANDA Beli Vimax Yang Palsu Dari Kami!!…

- Rawat Masalah Ketegangan & Mati Pucuk Suami Dengan Mudah, Pantas & Berkesan. Berusahalah Untuk Kebahagiaan!!..

Bezanya, dalam syariat Islam ada beberapa hukum khas berkaitan anjing yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis. Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis tersebut, golongan ulama membahaskan hukum berkaitan anjing ini secara khusus. Jika diteliti, ada beberapa isu berkaitan anjing yang menjadi perbincangan kalangan ulama.

Antaranya isu kenajisan anjing, menyentuh anjing, anjing terlatih digunakan untuk memburu, memelihara anjing, memberi makan kepada anjing, air liur dan jilatan anjing, dan digunakan sebagai pengawal. Hukumnya berbeza berdasarkan perbezaan situasi. Adalah tidak adil untuk berpegang dengan satu pendapat dan dihukum secara total kepada isu lain juga.

Isu khilaf

Dalam syariat ada perkara yang menjadi kesepakatan ulama. Misalnya kewajipan solat, puasa Ramadan, pengharaman arak dan zina. Ada pula perkara yang wujud perbezaan pandangan kalangan ulama (khilaf).

Hukum berkaitan anjing adalah antara contoh isu yang ada perbezaan pandangan. Hal ini perlu difahami terlebih dahulu supaya kita tidak terjerumus dalam prasangka negatif, kutuk-mengutuk, label-melabel bahkan sehingga menyesatkan orang lain.

Contohnya, golongan ulama berbeza pandangan dalam membahaskan kenajisan anjing. Pandangan pertama: Anjing adalah najis secara keseluruhannya. Ini pendapat dalam Mazhab Imam Syafie dan Imam Hanbali. (Lihat: Wahbah al-Zuhaili, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/305)

Pandangan kedua: Anjing tidak najis. Pendapat ini terkenal dalam Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi. Cuma Mazhab Hanafi mengecualikan mulut, air liur dan lidah. (Lihat: Wahbah al-Zuhaili, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/305)

Dalam ruangan terhad ini, penulis tidak berhasrat untuk membahaskan dalil diutarakan kedua-dua pandangan ini. Apa yang ingin disampaikan ialah kita perlu faham dan menerima hukum berkaitan anjing ini tidak menjadi kesepakatan dalam kalangan ulama, yakni adanya perbezaan pandangan.

Kita mungkin baru tahu satu pandangan berdasarkan satu mazhab sahaja. Jadi, usah cepat melenting dan keluarkan penilaian yang terburu-buru. Belajar dan terus belajar. Kaji dan terus mengkaji. Tanya dan terus bertanya. Langkah ini lebih menyelamatkan mulut dan tangan kita daripada bercakap dan menulis perkara yang salah.

Utamakan dalil

Apa sahaja berkaitan anjing hukumnya haram! Sekali imbas kenyataan ini memang tegas. Namun adakah ia bersifat ilmiah dan selari dengan dalil yang ada? Contohnya ada dalil yang mengharuskan anjing terlatih diguna untuk memburu binatang dan binatang tersebut halal untuk dimakan: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?”

Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan ALLAH kepada kamu. Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama ALLAH atasnya.” (Surah Al-Maidah: 4)

Anjing itu najis dan haram disentuh! Seolah-olah ini adalah pandangan ijmak ulama yang tidak ada perbezaan pandangan lain. Jadi kalau ada yang sentuh anjing maka dia melanggar syariat dan melakukan dosa dalam apa jua keadaan pun, hatta ada mufti meminta orang yang menyentuh anjing supaya bertaubat.

Sedangkan hakikat sebenar sebaliknya. Jika topik ini dibahaskan berdasarkan keluasan fiqh yang tidak terikat dengan Mazhab Imam Syafie sahaja, dimensinya adalah berbeza. Kita akan bertemu pandangan lain yang mungkin tidak popular dalam kalangan masyarakat Islam Melayu, tetapi dari sudut ilmiah pandangan itu diiktiraf dan mungkin lebih kuat.

Kaedah perbincangan seperti ini tidak salah bahkan ia digalakkan selagi mana berpaksi kepada dalil dan hujah yang sahih. Apabila kaedah perbincangan yang merentasi mazhab seperti ini dibudayakan, ia mampu membuka minda masyarakat terhadap sesuatu isu berkaitan Islam. Cara fikir dan tanggapan juga mungkin akan berubah. Salah faham juga dapat diperbetulkan dan perbezaan amalan dapat diharmonikan.

Apabila sesuatu isu itu dibahaskan dengan dibawa pandangan lain merentasi mazhab, jangan cepat melatah dan menuduh ini adalah proses liberalisasi! Adakah jika sesuatu pandangan itu kelihatan janggal atau kelihatan longgar, ia terus dilabel liberal?

Atau ini ajaran Wahabi? Sedangkan kemungkinan pandangan itu janggal pada tanggapan kita sahaja. Tidak pada neraca ilmiah. Ia janggal sebab kita tidak pernah belajar dan membacanya. Atau kita yang tidak tingkatkan ilmu. Ilmu agama yang difahami hanya berdasarkan apa yang dipelajari masa zaman kanak-kanak dahulu sahaja.

Perkara haram lain

Sikap sensitif sebahagian masyarakat terhadap isu ini suatu yang patut dipuji. Ini lambang kepada masyarakat yang tidak mahu dicemari dengan unsur yang haram. Tidak hanya anjing dan babi, kita juga seharusnya sensitif terhadap perkara-perkara lain yang diharamkan syariat.

Contohnya, adegan berpelukan bercumbuan dalam drama dan filem, isu pinjaman dan jual beli yang melibatkan riba, rasuah dan penyelewengan urus tadbir kalangan pemimpin, penyalahgunaan wang negara dan bermacam lagi perkara yang diharamkan syariat.

Walaupun ada kalangan manusia yang menjadikan anjing sebagai binatang peliharaan, namun jika manusia diibaratkan seperti anjing, ia bukan suatu pujian. Ini suatu kutukan dan penghinaan.
Antara perumpamaan buruk yang ALLAH gunakan dalam al-Quran ialah kepada golongan ulama dunia yang sanggup menjual prinsip agama dan kebenaran demi kepentingan diri sendiri.

Golongan ini diibaratkan seperti anjing.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia daripada kalangan yang sesat.

“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah itu supaya mereka berfikir.” (Surah Al-’Araf: 175-176)

Apa pun program yang menyentuh isu sensitif mestilah menjadikan masyarakat semakin faham isu tersebut berdasarkan hukum-hakam agama menerusi perbahasan adil dan ilmiah. Ia mampu membuka minda keluasan fiqh berpandukan dalil sahih, dan bukannya menjadikan masyarakat tidak kisah hukum-hakam syariat.