Membincangkan isu masyarakat Malaysia
Random header image... Refresh for more!

Muslim dan anjing

Dr Harith Abdul Malek

Pada suatu petang, setahun yang lalu, seekor anjing jalanan masuk ke rumah kami kerana pintu pagar yang dibiarkan terbuka. Disebabkan takutkan anjing tersebut menjilat baju-baju di sidaian, ayah saya melemparkan seketul baju sebesar penumbuk ke arah anjing itu.“Gedebuk!”. Batu tersebut hinggap di kepala anjing yang malang itu. Dalam keadaan terkejut, anjing itu perlahan-lahan melangkah keluar dari rumah kami. Kami bersorak kegembiraan sambil mengagumi kehebatan lontaran ayah yang sungguh tepat.

Namun, jauh di sudut hati saya, tercetus rasa simpati mengenangkan kesakitan anjing tadi. Sehingga ke hari ini, bunyi nafas anjing yang tersedu-sedu sewaktu ia meninggalkan kami sekeluarga masih lagi terngiang-ngiang di hujung benak kepala saya.

Keluarga Abdul Malek vs. Anjing Kurap

Kadang-kadang saya terfikir, di akhirat nanti, bagaimana nasib kami sekeluarga sekiranya anjing tadi datang menuntut keadilan daripada Allah SWT ke atas perbuatan kasar kami terhadapnya?

Adakah Allah SWT akan melepaskan kami daripada sebarang hukuman sekiranya kami mengatakan kami hanya mengikut mazhab Syafi’e yang diamalkan di negara kami? “Ya Allah, mengikut pegangan mazhab kami, anjing itu najis berat. Dan kalau mana-mana anggotanya terkena pada rumah kami atau pakaian kami yang tersidai, susah kami nak sertu,” begitu agaknya hujah kami nanti.

“Lagipun, kalau nak halau cara lembut pun susah sebab ikut jabatan agama negeri kami, haram hukumnya pegang anjing tak sebab yang betul-betul urgent. Kalau kami angkat atau pegang anjing tu, apa pula kata jiran-jiran Melayu kami. Kami masyarakat Melayu memang sensitif pasal anjing dan babi,” kami meneruskan hujah dengan harapan untuk menang kes perbicaraan kami vs. si anjing di hadapan Allah.

Macam mana? Anda rasa saya dan keluarga saya boleh menang kes ini dan si anjing yang kami sakiti tadi akan disia-siakan di hadapan Allah SWT? Semoga taubat kami diterima Allah SWT.

Islam Agama Rahmat

Saya yakin ramai masyarakat Melayu mempunyai pengalaman yang serupa atau hampir sama dengan apa yang saya kongsikan di atas. Ada yang kemudiannya mendapat kesedaran Islam datang sebagai punca kemaslahatan untuk semesta alam selain daripada menghukum-najiskan anjing dan babi. Ada yang tetap kekal dibelenggu stigma sensitivi dan taksub mazhab.

Kalau dibuat survey terhadap anak-anak Melayu, 99% daripada mereka tahu anjing itu najis berat dan kalau terkena atau terpegang, perlu disucikan dengan 7 basuhan dengan basuhan pertama air dicampurkan dengan tanah.

Tetapi sekiranya ditanyakan tahukah Islam dan Nabi SAW diturunkan sebagai rahmat ke atas seluruh alam–manusia yang Muslim dan non-Muslim, binatang, pokok-pokok, langit dan lautan, bintang, bulan dan semua planet–, saya tidak rasa 99% yang akan menjawab “Ya, saya tahu”.

Pendidikan dari Awal

Pendidikan asas agama perlu diperbaiki dari semasa ke semasa supaya melebihkan penekanan kepada perkara-perkara yang benar-benar asas dalam agama. Sebagai contoh, sebelum diajarkan hukum-hakam fiqah, perlu diterangkan dahulu maqasid syariah dan konsep Islam agama pembawa rahmat.

Asas agama yang dibina atas perkara khilafiyyah, bukan atas perkara thawabit seperti yang sepatutnya, akan menumbuhkan salah faham agama yang boleh diwarisi sehingga bergenerasi. Salah faham agama ini dimanifestasikan dalam kehidupan bermasyarakat yang akhirnya menfitnahkan Islam dengan imej yang tersasar daripada wajahnya yang sebenar.

Sensitiviti Melayu & Mazhab Syafi’e

Pihak penguasa mengambil keputusan untuk menyiasat program mesra anjing yang dianjurkan Syed Azmi Alhabsi. Antara sebab siasatan ini perlu dilakukan ialah program tersebut menyentuh sensitiviti orang Melayu.

Wahai orang Melayu, sampai bila harus kita kurung diri kita dalam temperung sensitiviti? Anjing, babi, kalimah Allah. Sensitif semuanya. Judi, arak, rasuah, belasah isteri dan anak-anak, pukul binatang, buang sampah merata-rata, culas dalam bekerja, orang miskin melata; kita boleh tutup sebelah mata.

Tidak dinafikan, Imam asy-Syafi’e berfatwa anjing seluruhnya dikategorikan sebagai najis berat. Cumanya, sekiranya kita tidak bersetuju dengan tindakan Syed Azmi, saya rasa kurang adil apabila kita berhujah Islam mengharamkan umatnya memegang anjing dengan sengaja.

Walhal, pandangan Islam berkenaan anjing tidak hanya diwakili Imam asy-Syafi’e, bahkan 3 imam mazhab yang lain iaitu Imam Malik, Imam Ahmad, dan Imam Abu Hanifah. Adalah lebih adil sekiranya kita bercakap begini, “Saya kurang setuju dengan tindakan Syed Azmi kerana saya berpegang kepada pandangan dalam mazhab Syafi’e yang melarang kita memegang anjing untuk tujuan suka-suka.”

Perkataan begini bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk melihat Islam daripada pandangan mazhab-mazhab muktabar yang lain, bahkan menjauhkan kita daripada sikap taksub mazhab yang boleh memecah-belahkan umat. Suasana dakwah juga lebih segar dan harmoni dengan terpaparnya keluasan hukum syariah Islam.

Agenda Asing?

Satu lagi belenggu yang melilit tengkuk orang Melayu selain saya, isteri saya, Dr MAZA, dan sahabat-sahabat lain yang dituduh liberal, ialah belenggu paranoia atau terma yang lebih saya gemari “syok sendiri.”

“Program pegang anjing ini seperti ada agenda asing. Mula-mula pegang anjing, lepas ni pegang babi pula. Rosak anak orang Melayu,” begitulah komen ramai orang Melayu yang saya dengar secara langsung atau baca di laman-laman media sosial berkenaan dengan program anjuran Syed Azmi ini.

Kawan oii, sedarlah tiada siapa yang mahu menjatuhkan kita kerana kita memang sudah lama tersungkur rebah di bumi sendiri. Musuh sekarang cuma mentertawakan kita dek kerana kedegilan kita yang tidak mahu bangun dan bangkit merubah pemikiran menurut acuan Islam.

Ingat pesanan khalifah Islam yang mulia Saidina Umar ibnu al-Khattab, “Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam.” Cumanya, untuk masyarakat yang majoritinya Islam baka, saya rasa saya harus sertakan pesanan tersebut dengan klosa “sekiranya kita mengamalkan Islam dalam kehidupan kita secara total.”

Kita tidak dimuliakan hanya sekadar nama kita bernada arab dan ada “bin” atau “binti”. Kita dimuliakan Allah apabila kita bersungguh-sungguh untuk mempelajari, memahami, dan mengamalkan agama ini berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Penutup

Memang benar isu anjing adalah isu khilafiyyah. Tetapi, isu ini mendedahkan pekung kita yang masih jahil agama dan terbelenggu dengan penyakit-penyakit pemikiran yang sempit dan yang hakikatnya tidak Islami.

Saya amat berharap pihak penguasa dapat melihat isu ini bukan sekadar daripada sudut hukum fiqah dan sensitiviti orang Melayu semata-mata, tetapi sudut dakwah dan pembangunan agama dalam masyarakat Melayu sendiri.

Tahniah saya ucapkan kepada saudara Syed Azmi menempah pentas untuk untuk masyarakat Islam tampil menampakkan keindahan Islam, keluasan dan kebijaksanaan syariah. Semoga Allah menganjari kebaikan anda dan mengampunkan kekurangan dan kekhilafan anda dalam usaha anda yang #tamakpahala.